Berita

Ibu bapa ikon utama mendidik anak dalam penggunaan teknologi

Gambar hiasan
- Diterbit 22 Januari 2025 11:35 AM MYT

DALAM dunia kini, bukan lagi menjadi fenomena luar biasa jika melihat si kecil seawal usia tiga tahun ralit menatap gajet. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan ibu bapa turut menjadikan peranti tersebut sebagai ‘peneman’ anak mereka.

Memberi pandangan tentang perkara itu, Pesnyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin berkata, anak-anak kecil pada hari ini dilahirkan dalam dunia ledakan teknologi, jadi adalah sukar sekiranya ibu bapa atau penjaga melarang mereka menggunakan telefon bimbit atau apa jua perkara melibatkan Internet.

“Peranti tersebut merupakan keperluan dalam proses pembelajaran untuk mendapatkan ilmu tanpa sebarang batasan. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Malah ia bukan lagi satu barangan mewah, namun ia merupakan keperluan.

“Lihat sahaja harganya, ada jenama yang murah, malah ada pula yang boleh dibeli secara ansuran. Saya berpandangan setiap ibu bapa ada alasan tersendiri sama ada ingin membenarkan anak mereka menggunakan telefon pintar secara terkawal atau sebaliknya.

“Namun demikian ini tidaklah bererti ibu bapa boleh melepaskan peranan pemantauan tersebut, mereka boleh sahaja mendalami ilmu trace (jejak) kembali apa yang dilayari anak-anak, meletakkan had penggunaan hanya di hujung minggu atau setelah kerja sekolah disiapkan.

“Dalam masa sama ibu bapa boleh mengambil telefon yang diberikan  secara ‘tiba-tiba’ dan melihat apa yang terkandung dalam telefon tersebut,” katanya.

Tambah beliau yang merupakan seorang pakar dalam isu belia, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak  dengan memberikan jawapan ‘why’ (kenapa) bagi setiap persoalan yang diajukan.

“Jangan mendidik tanpa memberikan mereka jawapan kerana dikhuatiri mereka akan mencari jawapan di tempat yang tidak sepatutnya. Tambahan lagi scammer gemar memilih sasaran yang lebih naif memandangkan anak kecil ini lebih mudah dipujuk.

“Kanak-kanak pada ketika ini merupakan antara pengguna Internet dan aplikasi yang sangat dominan dalam tujuan mendapatkan maklumat, kepelbagaian ilmu dan untuk bermain.

“Mereka perlu kita didik seperti bermain layang-layang ada masanya kita tarik, ada masanya kita lepaskan, kerana sekiranya tali itu terputus, adalah sukar untuk kita menyambung kembali. Jadi sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu mencorak dan membantu mereka mencari arah dalam kehidupan ini,” ujar beliau.

Mohd Dino berkata, kejayaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat 3.1 bilion panggilan disyaki berunsur penipuan sehingga Disember tahun lalu merupakan satu kelegaan.

“Ini merupakan antara langkah terbaik pihak kerajaan. Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC turut bekerjasama melalui Op Pedo bagi mencegah kegiatan berkenaan Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) yang semakin mengancam kanak-kanak.

“Dalam masa sama, saya yakin jika semua pihak memainkan peranan menggembleng tenaga membendung isu ini, ia dapat dibanteras sebelum menjadi barah dalam masyarakat. Namun, peranan ini seharusnya bermula dari rumah kerana setiap ibu bapa adalah ikon utama bagi mengingatkan kanak-kanak kepada punca scammer ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas