Berita

I mport jurulatih Korea Selatan untuk persiapan NSAM ke Sukan SEA 2025

NSAM optimis pencapaian skuad menembak meningkat.
- Diterbit 3 Disember 2024 5:19 PM MYT

PERSATUAN Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) bakal mendapatkan khidmat dua jurulatih dari Korea Selatan, Park Cheol Wan (raifal) dan Kong Hyun Ah (pistol) bermula tahun hadapan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 Thailand.

Setiausaha Kehormat NSAM, Jasni Shaari berkata, kepakaran pasangan suami isteri yang juga pernah memimpin skuad Olimpik Korea Selatan itu diperlukan untuk memantapkan prestasi selain mental penembak negara.

“Kita sudah menghubungi kedua-dua jurulatih berkenaan. Sekarang mereka dalam proses pentadbiran untuk ke sini dan dalam mesyuarat baru-baru ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah pun bersetuju.

“Mungkin ada prosedur lain yang perlu dilalui tetapi secara umumnya kita telah bersetuju. Dengan adanya jurulatih profesional, saya harap ada peningkatan nanti. Dalam syarat berkenaan, kita harap ada peningkatan dari segi pencapaian penembak negara,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di MSN.

Dalam masa sama, Jasni berkata, kehadiran kedua-dua jurulatih berkenaan juga adalah bagi membantu dari aspek psikologi atlet negara.

“Jika kita tanya kepada penembak yang berjaya dalam sukan besar sudah semestinya mereka bercerita mengenai persiapan mental.

“Kebiasaan penembak terbaik mereka sudah rasa bila hendak menang namun perasaan itu tidak ada daripada penembak kita.

“Banyak penembak yang pergi ke Olimpik dan bila balik saya tanya mereka mempunyai perasaan gemuruh, gugup, tak tenteram. Ini semua bukan kesan ekoran kurang latihan tetapi kekurangan dari segi persiapan mental,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas