MENJADI tanggungjawab kita perlu menghargai ayah setiap masa dan ketika, namun tidak salah untuk meraikan Hari Bapa.
Ada yang meraikan dengan mengadakan acara kecil di rumah. Tidak kurang juga yang menitip kata-kata istimewa dalam media sosial masing-masing.

Begitulah juga dengan bintang popular pelakon Mira Filzah yang menitip sebuah penghargaan istimewa buat ayahnya, Badioezaman.
“Abah tidak selalu cakap I love you (Saya sayang kamu), tapi setiap perbuatan abah menunjukkan abah sayang.
“Abah ada mesej mengingatkan saya tentang malam Nisfu Syaaban ketika penggambaran di Perth (Australia).
“Abah pernah ajak makan tengah hari dan hanya berdua ketika hari bekerja, semata-mata mahu tanya bagaimana keadaan saya.
“Abah ada mesej beritahu yang abah tidak suka skirt yang saya pakai dalam episod pertama drama Sweet Dreams.

“Apa yang seseorang lakukan adalah lebih penting daripada apa yang diperkatakan.
“Abah. Terima kasih dan I love you too. Selamat Hari Bapa, Abah. Saya sayangkan abah selama-lamanya,” tulisnya di instagram miliknya.
Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman,27, pernah memberitahu doa serta ketegasan ayahnya antara rahsia kejayaan dirinya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular 2019.
Antara drama lakonan Mira Filzah ialah Eksperimen Cinta, Cinta Di Wedding Planner, Meh Sandar Pada Aku, Lelaki Kiriman Tuhan, Pujaan Hati Kanda dan banyak lagi. – WILAYAHKU