HUTANG baharu Kerajaan Persekutuan telah menguncup kepada RM76.8 bilion tahun lalu berbanding RM92.6 bilion pada 2023.
Kementerian Kewangan (MoF) memberitahu, ia berada pada nilai RM99.4 bilion pada 2022.
Jelasnya, kadar pertumbuhan hutang turut mengalami penurunan daripada 19.2 peratus pada 2022 kepada 8.6 peratus (2023) seterusnya berkurang kepada 6.4 peratus tahun lalu.
“Komitmen kerajaan dalam mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023 dan dijangka sekitar 4.0 peratus tahun lalu telah mengurangkan pinjaman baharu tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai hutang Kerajaan Persekutuan.
MoF menambah, selaras dengan Belanjawan 2025, kerajaan terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam dengan meningkatkan asas hasil dan melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan awam seperti penyasaran subsidi bagi meneruskan langkah konsolidasi fiskal selaras dengan pematuhan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).
Katanya, komitmen kerajaan dalam memastikan disiplin fiskal dan inisiatif pembaharuan fiskal dapat terus dilaksana adalah penting bagi memastikan pertumbuhan jumlah hutang dapat dikawal seterusnya sasaran hutang tidak melebihi 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) seperti yang ditetapkan dalam Akta 850 dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana.
“Selain itu, strategi pinjaman terus mengutamakan sumber pasaran modal tempatan untuk meminimumkan pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing. Hasilnya, sehingga akhir 2024, sebahagian besar komposisi hutang Kerajaan Persekutuan adalah berdenominasi ringgit iaitu 97.8 peratus.
“Kerajaan juga sentiasa memastikan pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan (DE) yang memberi pulangan kepada rakyat dan negara dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.
Jelas MoF, di samping itu, pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dapat menyumbang secara langsung kepada pengurangan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK.
Katanya, pengenalan dokumen strategik utama termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) selain penambahbaikan gaji minimum dijangka mampu memacu perkembangan aktiviti ekonomi dan perniagaan seterusnya menyumbang kepada objektif pembangunan negara.
“Pada 2024, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, melebihi sasaran awal antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan di samping eksport yang terus berkembang serta pertumbuhan positif dalam semua sektor ekonomi,” katanya. – WILAYAHKU