Hukum seseorang muslim menyambut Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata sambutan itu dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Namun begitu, menurutnya, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
“Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan kedua ibu bapa. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan tentang kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap keduanya.
“Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka merupakan golongan banyak melakukan kebajikan, golongan yang lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu, iaitu haram apabila membabitkan penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain dan ia dilarang menurut syarak.
“Manakal ia menjadi harus apabila menurut Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan. Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu.
“Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.
“Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam. Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.
“Pandangan ini tidak bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama mazhab Syafi’i di atas kerana maksud haram adalah jika peniruan itu berunsurkan upacara agama. Manakala, sambutan hari ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat,” katanya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.
“Seiring dengan perubahan masa, sambutan ini tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak,” tegasnya. – WILAYAHKU