HUBUNGAN diraja Malaysia dan Brunei yang terjalin sejak 40 tahun lalu, terus diperkukuh dengan lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Bandar Sri Begawan.
Lawatan Seri Paduka mulai 13 hingga 15 Oktober ini yang diringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah memartabatkan lagi rumpun, budaya serta Kesultanan Melayu.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka berdua, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Menurut Istana Negara, Brunei merupakan negara ketiga dikunjungi Seri Paduka untuk lawatan negara selepas Singapura dan China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu.
“Hubungan akrab Malaysia dan Brunei terserlah apabila Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Julai lalu.
“Bersempena lawatan ke Brunei, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat ke Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman,” kata Istana Negara dalam kenyataan pada Sabtu.
Istana Negara menambah, Seri Paduka berdua turut dijadual berangkat ke Majlis Santapan Minum Petang bersama rakyat Malaysia di Brunei.
Katanya, pada hari kedua, Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). – WILAYAHKU