Berita

Hubungan diplomatik Malaysia, Singapura 60 tahun: Komitmen perkukuh kerjasama bilateral

- Diterbit 8 Januari 2025 2:20 PM MYT

MALAYSIA dan Singapura menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama bilateral bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pertukaran lawatan secara berkala di pelbagai peringkat yang mencerminkan tekad mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Malah kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus menangani cabaran secara bersama, memupuk manfaat bersama dan menyokong pertumbuhan mampan di rantau ini.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa adalah penting bagi Malaysia dan Singapura menguruskan isu-isu dengan cara menang-menang dan tidak membenarkan mana-mana isu menenggelamkan hubungan jangka panjang yang lebih luas,” jelas kenyataan bersama itu yang dikongsi Wisma Putra pada Rabu.

Kenyataan bersama itu bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 susulan lawatan rasmi Lawrence Wong ke Malaysia bermula kelmarin.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin menggariskan beberapa isu untuk tindakan bersama termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kerjasama politik-keselamatan, kerjasama ekonomi selain kerjasama dalam aspek kelestarian dan alam sekitar.

Ia turut merangkumi kerjasama dalam kesalinghubungan dan persempadanan, sempadan maritim, sosiobudaya serta pembangunan antarabangsa dan serantau.

Dalam aspek JS-SEZ, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai melibatkan zon ekonomi khas itu melalui pemeteraian perjanjian dalam pertemuan di Putrajaya semalam.

“JS-SEZ adalah satu pencapaian utama dalam hubungan Malaysia-Singapura yang akan membolehkan kedua-dua negara mendorong inovasi, meningkatkan produktiviti, bersaing untuk pelaburan global, mencipta pekerjaan, dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi,” jelas kenyataan bersama itu.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin menyambut baik kerjasama pertahanan yang kukuh antara Malaysia dan Singapura dengan kedua-dua negara aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dinamik.

Menurut kenyataan bersama itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Singapura (SAF) telah menyertai pelbagai latihan ketenteraan dua hala, termasuk Semangat Bersatu (Tentera Darat), Malapura (Tentera Laut) dan Sarex Malsing (Tentera Udara).

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan mengekalkan kerjasama pertahanan yang rapat memandangkan ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan global dan menyokong sumbangan berterusan kedua-dua negara terhadap keselamatan rantau ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas