Oleh SABRINA SABRE
HARI Rekreasi Putrajaya (HRP) 2023 berjaya mendapat pengiktirafan bagi rekod The Longest Picnic Line (Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia) dengan jumlah jarak sejauh 709.5 meter oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) termasuk penyertaan acara perkelahan seramai 1,084 orang bersamaan 271 lot perkelahan dengan ukuran sepanjang 500 meter.
Selain menjadi sebahagian daripada rekod pengiktirafan MBOR, peserta perkelahan turut diadili bagi pertandingan lot piknik tercantik yang dipertandingkan dalam enam kategori iaitu terbuka, komuniti Putrajaya, pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar universiti serta pengatur acara (event planner).
Pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penganjur program berharap secara tidak langsung HRP2023 dapat memperkenalkan Putrajaya sebagai bandar mesra rekreasi yang dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.
Di samping itu, diharapkan agar Sambutan HRP2023 dapat menjadi acara tahunan yang akan disambut di peringkat kebangsaan selain menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terutamanya terhadap penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan dan sokongan kepada gaya hidup sihat serta aktif.
Terdahulu, HRP2023 berjaya mencatatkan jumlah keseluruhan pengunjung seramai 30,000 orang. – WILAYAHKU