HOSPITAL Kajang kini dikenali sebagai Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.
Majlis perasmian penjenamaan baharu hospital itu disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berkenan mencemar duli ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Pada majlis berkenaan baginda turut merasmikan pembukaan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak (WCC).
Pusat rawatan itu dibina di atas tanah seluas 5.43 ekar yang terletak 800 meter dari bangunan utama Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.
Ia dibina bagi mengurangkan kesesakan pesakit di bangunan lama serta mengambil kira prasarana yang berusia di fasiliti tersebut.
Perkhidmatan yang disediakan di WCC itu merangkumi perkhidmatan kepakaran seperti Perubatan Kecemasan, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Pergigian Pediatrik, Pediatrik Ortopedik, Anestesiologi dan Rawatan Kritikal, Radiologi, Patologi dan Rehabilitasi.
WCC mempunyai kapasiti 272 buah katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi Hospital Tengku Permaisuri Norashikin sebanyak 658 buah katil.
Selain turut dilengkapi dengan kemudahan seperti mesin pengimejan CT Scan, 14 bilik Dewan Bersalin, enam bilik Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), kemudahan ‘rooming-in’ bagi ibu yang baru bersalin, Klinik-Klinik Pakar, Farmasi, Taman Terapeutik Rehabilitasi, serta Pusat Rawatan Harian (Daycare).
Pusat itu turut dilengkapi dua bilik kedap bunyi untuk saringan pendengaran bayi baru lahir.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selaras dengan inisiatif pendigitalan sektor kesihatan negara, pusat rawatan itu menggunakan Sistem Pengurusan Pesakit (SPP) seperti sedia ada di bangunan utama hospital, malah turut dilengkapi dengan versi terkini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I.).
“Pendekatan pintar ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hospital dan pemantauan rawatan yang lebih sistematik, malah turut memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, tepat dan mesra pengguna,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin; SUK Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Turut Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Suriani Datuk Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin.-WILAYAHKU