INDUSTRI Landskap mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 14.8 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Justeru, penganjuran Hari Landskap Negara (HLN) 2024 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda di samping menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ia juga merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara dengan mewujudkan kesedaran, menarik minat dan pengetahuan dalam kalangan semua pihak terhadap landskap seterusnya merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah.
“Green Urban Forum (GUF) turut diadakan bertujuan untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan serta menyuntik idea-idea berkenaan inisiatif perbandaran hijau negara, khususnya berkaitan pembangunan landskap.
“Di samping itu, ia juga turut menjadi platform bagi menerapkan nilai dan amalan pengurusan landskap terbaik yang dapat menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan,” ujarnya pelbagai aktiviti dan pertandingan turut diadakan.
Tambah beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) sentiasa berusaha untuk memperkasakan industri landskap negara melalui pengukuhan jaringan kerjasama bagi meningkatkan peranan penggiat industri landskap. Ini secara tidak langsung dapat menyokong kepada perkembangan ekonomi negara.
Dalam pada itu, industri landskap dianggarkan telah menyumbang sebanyak RM29.7 bilion atau bersamaan 1.7% peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2022.
“Berdasarkan kepada maklumat yang dibekalkan oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK Malaysia pada tahun 2022 adalah berjumlah sebanyak RM1.791 trilion.
“KPKT melalui JLN memberikan komitmen penuh terhadap usaha-usaha bagi menyokong perkembangan industri landskap negara yang turut menyumbang kepada perkembangan KDNK,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata dalam sektor pembekalan pokok, tanaman hiasan dan landskap, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) merekodkan sebanyak 653 buah perusahaan tapak semaian berdaftar meliputi kawasan seluas 819.63 hektar di seluruh negara.
“Negeri Johor mencatatkan keluasan perusahaan tapak semaian terbesar iaitu 571.08 hektar manakala dalam sektor pembinaan, sebanyak 20,537 buah syarikat telah berdaftar sebagai kontraktor landskap dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” ujarnya.
Terdahulu, bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI’, Sambutan HLN 2024 merupakan sambutan kali ke-25 dan berlangsung selama 10 hari bermula pada 24 Mei sehingga 2 Jun 2024 anjuran KPKT melalui JLN dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan perasmian HLN 2024 di Taman Tasik Shah Alam, Selangor. Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – WILAYAHKU