Berita

HKHM Parlimen Wangsa Maju pupuk semangat kekeluargaan

- Diterbit 10 September 2024 5:35 PM MYT

PELBAGAI aktiviti diadakan bagi memeriahkan Kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Parlimen Wangsa Maju 2024 baru-baru ini.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Wangsa Maju berkata Sambutan HKHM tersebut dianjurkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir
Hassan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Wangsa Maju dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Makanan Sihat dan Selamat (PEKEMASS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Platinum Victory Sdn Bhd.

“Majlis penutup dan penyampaian hadiah tersebut merupakan acara kemuncak kepada Sambutan HKHM Peringkat Parlimen Wangsa
Maju 2024 yang telah bermula sejak 24 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya selain memupuk semangat cintakan negara, sambutan HKHM tersebut turut bertujuan untuk menggalakkan semangat kekeluargaan, penglibatan para belia serta perpaduan antara kaum.

“Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang Sambutan HKHM tersebut adalah Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang di Rumah Ibadah, Jelajah Merdeka Wangsa Maju, 2PM Lokal Foodie dan jualan but kereta.

“Aktiviti-aktiviti tersebut disertai oleh penduduk Wangsa Maju daripada pelbagai lapisan umur serta turut melibatkan penyertaan rumah-rumah ibadah dan kerjasama oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Wangsa Maju, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), M3 Shopping Mall, SMK Zon R1 Wangsa Maju, SMK Taman Melati dan SMJK Chong Hwa.

“2PM Lokal Foodie pula menampilkan 15 pengusaha makanan Rakan Niaga Wangsa Maju yang merupakan peserta Projek Rintis Pemerkasaan Pengusaha Makanan dan Minuman (Projek Rintis 2PM) kelolaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Wangsa Maju,” ujarnya.

Terdahulu, majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan di ruang legar terbuka The Palette Danau Kota by Platinum Victory dan di sebelah pagi, Zahir turut menyertai Konvoi Malaysia MADANI Jiwa Merdeka Parlimen Wangsa Maju anjuran secara bersama Jabatan Penerangan Malaysia dengan Komuniti MADANI Wangsa Maju dan MPP Zon Wangsa Maju.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengasas Bersama Platinum Victory, Tan Sri Datuk Seri Gan Yu Chai dan Pengurus DBKL Cawangan Wangsa Maju, Fairuz Izwan Abdullah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas