KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pelbagai langkah pencegahan serta kawalan HIV bagi mengakhiri AIDS menjelang 2030. Projek Cities Getting to Zero HIV adalah salah satu inisiatif yang dilancarkan di peringkat negara-negara ASEAN termasuk beberapa bandaraya di Malaysia.
Kuala Lumpur Menuju Sifar HIV merupakan projek di bawah KKM yang diterajui oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur di mana ia adalah projek perkongsian pintar antara JKWPKL dan Putrajaya dengan agensi kerajaan lain.
Projek tersebut bertujuan untuk mengurangkan jangkitan baru HIV sebanyak 50 peratus dengan menambah baik dan meningkatkan pencegahan komprehensif kepada sasaran baharu dan sedia ada.
Inisiatif tersebut juga turut menyasarkan untuk mengurangkan impak HIV dan AIDS terhadap sosioekonomi dan kemanusiaan.
Terdapat tiga visi yang ditetapkan di dalam projek ini iaitu sifar jangkitan HIV baharu, sifar diskriminasiterhadap orang hidup dengan HIV dan sifar kematian berkaitan AIDS menjelang tahun 2030.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Raudah Abd Rahman antara pendekatan lain yang dilaksanakan oleh KKM untuk mengurangkan kadar kes HIV khususnya di Kuala Lumpur adalah dengan pelaksanaan Program Pengurangan Kemudaratan seperti Program Rawatan Gantian Methadone (MMT), Needle Syringe Exchange Program (NSEP) dan perkhidmatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP).
“Pada tahun 2005, KKM telah melaksanakan program pengurangan kemudaratan di mana pada ketika itu, kami memfokuskan kepada pencegahan dan rawatan buat penagih dadah dengan cara memberi jarum suntikan bersih kepada mereka.
Oleh kerana pada ketika itu majoriti kes baru HIV adalah disebabkan perkongsian dadah jarum suntikan, Program Rawatan Gantian Methadone (MMT) dan Needle Syringe Exchange Program (NSEP) dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penularan HIV di kalangan penangih dadah yang berkongsi jarum suntikan.
“Melalui Program MMT, KKM telah memberikan rawatan gantian Methadone iaitu sejenis ubat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap heroin dan morfin di mana jika mereka mengambil ubat ini mengikut dos yang betul, Methadone akan bertindak mengawal ketagihan dan tanda-tanda pengunduran tanpa rasa gembira (euphoria), khayal atau rasa sakit (analgesia). Di Kuala Lumpur dan Putrajaya, perkhidmatan ini ditawarkan di 9 klinik kesihatan, beberapa klinik swasta dan Pusat Khidmat Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).
“Selain itu, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah payung Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia dalam pencegahan dan kawalan HIV terutama dalam meningkatkan saringan di kalangan populasi kunci (key population) yang terdedah dengan risiko jangkitan HIV. Pekerja Kesihatan Komuniti daripada NGO ini dilatih bagi menjalankan saringan di kalangan populasi kunci yang dikenalpasti dalam komuniti. Populasi kunci yang didapati positif HIV akan dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk rawatan HIV dan yang didapati negatif HIV akan dirujuk kepada pakej pencegahan HIV termasuk rujukan ke klinik Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP). Di Kuala Lumpur, klinik kesihatan yang menawarkan perkhidmatan pemberian PrEP adalah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dan Klinik Kesihatan Cheras.
Dalam pada itu, Dr Raudah berkata Jabatan Kesihatan WPKL dan Putrajaya banyak melaksanakan program kesedaran terutama golongan muda berumur 39 tahun ke bawah memandangkan data statistik menunjukkan hampir 80 peratus pesakit HIV/AIDS dalam kalangan mereka.
“Justeru itu, kita laksanakan program kesedaran ini bermula di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi Program Sihat Tanpa AIDS (PROSTAR 2.0) selain turut memperkasakan rawatan HIV di klinik kesihatan dan hospital.
“Justeru itu, tahun 2024 ini menjadi permulaan yang baik untuk melaksanakan projek ini selepas terhenti seketika susulan wabak COVID-19. Saya harap semua pihak termasuk agensi terlibat berganding bahu mengurangkan kadar kes HIV/ AIDS khususnya di Kuala Lumpur agar setiap rancangan yang diaturkan berjalan lancar,” ujarnya. – WILAYAHKU