Berita

Hinaan tidak ganggu fokus PM Anwar

Anwar sempat menunaikan solat berjemaah di masjid Sultan, Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah sejurus program di Westports 2.
- Diterbit 4 Oktober 2024 3:34 PM MYT

SEMAKIN canggih teknologi pada hari ini, maka semakin rakus manusia menyebar fitnah sekali gus mengajak orang lain membenci apa yang dibenci oleh mereka.

Fitnah yang disampaikan dalam bentuk hantaran dan penulisan dilihat semakin parah dan jika dalam politik, ia digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan pihak lawan.

Begitu juga halnya yang dilalui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tindakan segelintir pihak yang melemparkan fitnah terhadap beliau tidak pernah melemahkan semangat bahkan semakin kuat untuk mentadbir negara ke arah yang lebih hebat.

Menurut Anwar, lebih kesal, terdapat isu berpuluh tahun yang diungkit kembali yang mendatangkan fitnah untuk mengaibkan beliau.

Namun tegasnya, apa jua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak sesekali melunturkan semangat beliau untuk mengemudi Kerajaan MADANI.

“Kamu hinalah banyak mana pun, berpuluh tahun saya dihina, ejen Yahudi, ejen Israel, main lelaki main perempuan, yang belum kata, main dengan lembu belum.

“Jadi kamu nak hina tak ada makna. Tapi biar ikut adab dan akhlak. Kamu tahu hukum. Nak bawa kes, saya boleh cerita tapi saya nak maju ke depan.

“Tapi dia ungkit lagi. Anda pun tahu kes pertama buat di kondo itu tak ada apa lagi, itu yang sebab kata satu itu fitnah yang keji untuk jatuhkan maruah orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Westports 2 di Dewan Budaya, Westports Malaysia, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Sebelum ini, tular ucapan Anwar pada Ogos lalu di Putrajaya yang menyentuh tentang amanah yang harus dipikul sebagai Perdana Menteri.

“Ini kerana bila diberikan amanah ia adalah ujian Allah berikan kepada kita. Bila nak laksanakan amanah? Semasa berkuasalah kita laksanakan. Esok bila saya pencen saya jerit itu tidak betul ini tidak betul sudah tiada makna lagi.

“Sekarang ada kuasa setelah melalui liku-liku dan perit-jerih keluar masuk Penjara Sungai Buloh, inilah masa saya dan rakan-rakan berikan khidmat sebaik mungkin dan apapun cerca, hinaan dan fitnah tidak akan ganggu fokus saya bangun dan selamatkan negara serta mengangkat darjat rakyat,”  katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas