Berita

Hina Nabi Muhammad tindakan tidak bertanggungjawab

- Diterbit 28 Mac 2025 4:00 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyifatkan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial sebagai tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan sensitiviti agama.

“Saya berasa amat dukacita kerana insiden-insiden sebegini masih berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia yang seharusnya memahami batas-batas sensitiviti agama serta implikasi undang-undang dalam membuat kenyataan atau komentar, terutamanya di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa agensi-agensi di bawah kementeriannya akan terus memperkukuh usaha kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada dalam penggunaan media sosial.

“Adab dan batas sensitiviti agama perlu dijaga bagi memelihara keharmonian serta kesejahteraan antara kaum dan agama di negara kita,” tambahnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang mengundang kecaman orang ramai. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat perkara itu, dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang terbabit.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas