JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan membuat siasatan berhubung tindakan seorang individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di sebuah konvensyen baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan dilakukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di sebuah konvensyen baru-baru ini.
“Kita minta semua pihak untuk bertenang dan menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak PDRM.
“Pada masa sama, pihak JAWI turut membuat siasatan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya dalam kenyataan pada JUmaat.
Mohd Na’im memberitahu, semua pihak perlu berhati-hati ketika menyampaikan ucapan terutamanya dalam perkara berkaitan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.
“Selain itu, sebarang perkara yang boleh menimbulkan kontroversi juga perlu dielakkan,” tegasnya.
Terdahulu Razarudin memaklumkan polis membuka kertas siasatan mengenai hantaran dalam Facebook yang memaparkan seorang ahli akademik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Menurutnya, siasatan itu dibuka selepas menerima satu laporan polis pada pukul 9.48 malam semalam.
Kata beliau, berdasarkan laporan dibuat, pengadu mendakwa mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik Facabook Dakwah Sunnah II berkaitan individu iaitu pensyarah di sebuah universiti tempatan yang mencetuskan provokasi.
Hantaran berkenaan memaparkan lelaki berkenaan telah mengeluarkan kenyataan dengan menghina Nabi Muhammad di dalam satu program. – WILAYAHKU