Artikel

Himpunan RXZ atau Huffaz?

PERHIMPUNAN RXZ di Kuala Terengganu baru-baru ini merupakan kali yang ke-6. -Gambar hiasan
- Diterbit 20 September 2024 11:20 AM MYT

‘PLAY to the gallery’. Itulah peribahasa Inggeris tentang cara kita mendapat sokongan. Kita akan melakukan apa yang disenangi orang untuk mendapatkan sokongan tanpa mengira apakah ia betul atau salah.

Menurut pakcik Google, makna play to the gallery adalah ‘membuat sesuatu yang popular di kalangan orang ramai berbanding dengan membuat sesuatu yang betul’.

Minggu lalu, ada dua program yang boleh didakwa sebagai ‘play to the gallery’. Satu di Kuala Terengganu dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menaja, menyokong dan menyertai himpunan pemilik motor RXZ. Turut serta dan seolah-olah merestui perhimpunan ini adalah Ustaz Azhar Idrus yang dijadikan idola oleh ramai anak muda.

Pada siangnya ribuan anak muda dari seluruh negara ini mendengar kuliah Ustaz Azhar dan pada malamnya mereka menonton konsert rock yang dikatakan patuh syariah ini.

Berdasarkan peraturan di Terengganu, konsert patuh syariah maknanya tidak melalaikan dan tidak ada percampuran bebas lelaki dan wanita.

Yang menariknya pula tahun ini, perhimpunan ini ditaja juga oleh syarikat pengedar dan penjual vape atau rokok elektronik, sesuatu yang diharamkan oleh kerajaan negeri  Terengganu sebelum ini.

Logo syarikat ini dipasang di mana-mana, di backdrop pentas, kain rentang dan juga termasuk di bahu baju yang dipakai oleh Ahmad Samsuri. Penulis tidak pasti apakah Ustaz Azhar juga memakai baju-T rasmi program ini.

Kesemua perkara ini dinamakan ‘play to the gallery’ atau membuat sesuatu mengikut kehendak orang yang kita hendak dekati atau untuk mendapat sokongan walau tidak semestinya betul.

Benar, ia sememangnya disenangi anak muda. Sebab itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hatta beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu, PAS mendapat sokongan penuh anak muda. Ini kerana, perhimpunan RXZ kali ini adalah yang ke-6. Ini bermakna sebelum ini sudah ada lima perhimpunan yang berlangsung pada setiap tahun.

PAS berjaya mengikat hati anak muda dengan pendekatan ‘play to the gallery’ ini. Hendak apa sahaja, PAS akan turuti kehendak mereka.

Dalam Muktamar PAS di Temerloh baru-baru ini, PAS membuat resolusi untuk mendekati orang bukan Melayu yang selama ini sesetengahnya dikategorikan sebagai kafir harbi oleh mereka.

Hatta ada yang mencadangkan dalam muktamar tersebut agar mengahwini mereka untuk membolehkan PAS mendapat undi bukan Melayu dalam pilihan raya akan datang. Ini juga boleh dinamakan sebagai ‘play to the gallery’.

Di Kuala Lumpur, pemimpin Kerajaan Perpaduan mendekati golongan agama dengan menganjurkan himpunan bersama para penghafaz Al-Quran atau huffaz.

Majlis itu berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Ia boleh dikatakan didalangi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyertai majlis ini.

Di majlis ini tidak ada hingar-bingar bunyi RXZ. Yang ada adalah hingar-bingar bunyi manusia mengagungkan Allah dan memuliakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena dengan hari kelahiran Baginda.

Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Himpunan 24K Huffaz yang berlangsung dengan jayanya menunjukkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan Al-Quran dan para huffaz sebagai modal insan yang penting bagi negara.

Ujarnya, himpunan ini adalah manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan generasi huffaz terus memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai peneraju moral, etika dan kerohanian.

“Alhamdulillah, Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan telah berlangsung dengan kehadiran seramai 24,000 para huffaz dari seluruh negara.

“Ini merupakan agenda besar kerajaan dalam memartabatkan agenda Islam khususnya Dasar Tahfiz Negara yang dipelopori oleh YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam melahirkan para huffaz profesional yang bukan sahaja menghafaz Al-Quran tetapi menguasai juga pelbagai bidang profesional termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu memberikan mereka gaji yang premium,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Katanya, Program Eksplorasi TVET-Tahfiz turut diperkasakan demi pembangunan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran duniawi.

Di majlis ini, lebih 24,000 huffaz melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Mereka terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz Al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

Inilah dua program yang boleh dikatakan ‘play to the gallery’ minggu lalu. Satu mendekati anak muda dengan himpunan RXZ di Terengganu dan satu lagi Himpunan 24K Huffaz mendekati dan menyantuni para huffaz di Kuala Lumpur.

Kepada anda, program yang bercorak ‘play to the gallery’ yang mana sepatutnya disokong? Sudah tentu penyokong PAS akan kata, pendekatan Terengganu yang betul manakala penyokong Kerajaan Perpaduan akan kata pendekatan Putrajaya di Kuala Lumpur yang betul.

Ini kerana kedua-duanya bercorak ‘play to the gallery’, mahu mendekati penyokong masing-masing. Kalau gitu, anak muda akan terus sokong PAS lah ye manakala orang beragama akan sokong Kerajaan Perpaduan. ehhh ye ke?

 INI sekadar catatan dan pandangan penulis, ZULKIFLI SULONG sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas