HIMPUNAN Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam menyaksikan rakyat bersama dan bersatu tanpa mengira bangsa dan agama untuk menuntut keadilan bagi rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberikan ruang dan peluang kepadanya untuk berucap dalam perhimpunan itu.
Menurutnya, himpunan tersebut cukup penting untuk semua rakyat Malaysia bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
“Terima kasih (Anwar). Beliau merupakan satu-satunya pemimpin dunia yang sentiasa konsisten dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan dan kesaksamaan untuk Palestin dan rakyatnya.
“Ketegasan dan pegangan perjuangannya cukup teguh. Beliau merupakan seorang pejuang kemanusian sejagat yang komited untuk membawa suara keadilan di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ramanan, isu Palestin adalah isu kemanusian dan kasih sayang secara bersama yang merentas agama serta kaum.
Beliau berkata keganasan dan kerakusan di Palestin perlu dihentikan segera.
“Kita menuntut kedamaian melalui nilai-nilai kemanusian.
“Seperti mana pendekatan Mahatma Gandhi yang tidak berpaksikan keganasan sebaliknya mementingkan keharmonian boleh dijadikan contoh dalam mencari jalan penyelesaian terbaik kepada konflik yang sedang berlaku,” katanya.
Hadir sama dalam himpunan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Himpunan itu turut dihadiri ribuan peserta yang berpakaian serba putih, sebagai tanda solidariti mereka kepada rakyat Palestin yang kini dihimpit kesukaran akibat penindasan tanpa perikemanusiaan dilakukan rejim Israel. – WILAYAHKU