Selebriti

Hikmah musibah

- Diterbit 30 Ogos 2024 5:00 PM MYT

SETIAP apa yang berlaku dalam alam semesta ini, tidak ada yang terjadi tanpa sebab dan hikmahnya. Begitulah dalam kehidupan kita. Mutakhir ini kita dikejutkan dengan musibah bencana alam seperti banjir kilat dan tanah  jerlus.

Malah kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini menyebabkan seorang mangsa warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter itu.

Apa yang lebih tragis, sehingga artikel ini ditulis, wanita tersebut belum ditemui dan pihak berwajib sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Walau bagaimanapun, setiap bencana yang terjadi perlu kita renungkan dan mengambil iktibar serta pengajaran daripadanya untuk bekalan masa depan.

Semua pihak main peranan

BAGI penyanyi yang sedang popular menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain, Ara Johari, rentetan musibah yang berlaku membuatkan semua pihak prihatin, cakna dan memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.

Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izatie Johari, 27, dia turut berasa sebak dengan peristiwa tersebut namun dalam masa sama kagum melihat kesungguhan rakyat Malaysia yang bersatu padu dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Saya bangga melihat semua pihak bersatu hati memainkan peranan masing-masing. Pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan turun padang membantu mangsa.

“Ada menjadi sukarelawan yang membantu dalam pembersihan pasca banjir. Itu yang dekat.

“Manakala yang jauh dan tidak mampu menolong dari segi tenaga, mereka turut menghulurkan bantuan menerusi sumbangan wang ringgit demi membeli keperluan mangsa.

“Kagumlah. Keprihatinan sebegini masih menebal dalam diri rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ara juga bersimpati terhadap keluarga mangsa tanah jerlus yang setiap masa menunggu agar ibu mereka ditemui.

“Siang malam pihak berwajib menjalankan tugas demi mencari wanita tersebut. Walaupun usaha itu nampak sukar, tapi saya percaya mereka sedaya mungkin melakukan yang terbaik.

“Begitu juga dengan warganet atau netizen yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama sentiasa memberi sokongan dan mendoakan mangsa ditemui.

“Di sini kita dapat lihat bagaimana pihak berwajib, NGO, masyarakat mahupun netizen bersatu hati dalam isu ini,” tambahnya.

Izzue ajak saling membantu

APABILA berlakunya  sesuatu musibah, terdapat juga pihak yang gemar menyalahkan orang lain tanpa usul periksa sehingga menyebabkan pelbagai masalah lain pula yang timbul.

Bagi artis Izzue Islam, masyarakat seharusnya bersatu padu dalam menghadapi musibah bukan suka menunding jari serta mencipta kontroversi di sebalik apa yang berlaku.

“Sama ada isu banjir, mangsa tanah jerlus dan sebagainya, apa yang penting adalah saling membantu, bekerjasama dan elak mencari kesalahan orang lain.

“Bukan masanya mencari salah sebaliknya kita berusaha untuk membantu semampu mungkin mangsa yang terjejas. Sifat belas ihsan itu perlu kita sematkan dalam diri.

“Apabila banjir kilat, ramai yang menjadi mangsa dan banyak rumah yang rosak. Tak kurang juga ada yang turut meragut nyawa. Ia memberi kesan kepada ahli keluarga mangsa. Jadi berhati-hatilah dalam meninggalkan komen kerana dikhuatiri akan mencalarkan perasaan mereka yang kehilangan insan tersayang,” katanya.

Dalam masa sama, Izzue turut mengikuti perkembangan mangsa tanah jerlus itu dari semasa ke semasa dan bersyukur melihat semua pihak bekerjasama, prihatin dan saling mendoakan tanpa mengira latar belakang yang berbeza.

“Setiap musibah yang berlaku juga adalah peringatan daripada Allah, supaya manusia sentiasa kembali memohon kepada-Nya. Kita semua perlu bersatu dalam menghadapi dugaan ini.

“Apabila berlakunya musibah, baru kita dapat tengok sejauh mana masyarakat mampu membuang sikap pentingkan diri. Masing-masing membantu dengan cara tersendiri. Ia lebih indah daripada kita mencari salah orang main,” ujarnya.

Melatih diri jadi sabar

BAGI penyanyi dan pelakon, Mark Adam, dia percaya setiap musibah atau ujian itu memupuk sifat sabar dalam diri seseorang.

“Di sebalik ujian ini, ia sebenarnya melatih untuk kita menjadi orang yang sabar dan reda dengan ketentuan Allah.

“Saya yakin, orang yang sabar menghadapi kesusahan dan kepayahan pastinya hidup lebih tenang apabila sentiasa berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan bersangka baik kepada ketentuan Allah.

“Ingatlah, ujian itu adalah fitrah dalam kehidupan kerana dengan ujianlah boleh menjadikan diri kita lebih tabah, lebih sabar dan lebih mengenal kekuasaan serta kebesaran Allah SWT.

“Setiap ketentuan dan ketetapan Allah itu adalah yang terbaik buat hamba-Nya. Dia adalah sebaik-baik perancang,” ujarnya.

Namun dalam masa sama, Mark Adam juga sedar bukan mudah untuk reda dengan apa yang berlaku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas