ISU tekanan hidup dalam kehidupan pada hari ini sudah menjadi perkara biasa. Namun, ramai yang memandang ringan hal tersebut sedangkan ia mampu menjejaskan arah tuju kehidupan jika tidak ditangani dengan baik.
Pelakon dan pengarah, Datuk Aaron Aziz merupakan antara selebriti yang sering memberi nasihat kepada masyarakat terutamanya golongan muda apabila melakukan sesi live menerusi media sosialnya.
Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 47, seberat mana pun masalah yang ditanggung usah terburu-buru sehingga mengambil langkah berlawanan dengan kehendak agama.
“Jangan cepat putus asa dalam usaha kita menangani stres kerana lambat-laun, apa saja dapat diselesaikan sekiranya bersabar. Bercakap pasal sabar, saya tahu ia tidaklah semudah yang disangka. Namun, kalau tidak kuat, tolonglah elak atau cegah diri daripada melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri.
“Nasihat saya kepada anak-anak muda di luar sana, yang pertama jauhilah dadah. Bila kita putus asa, otak kita akan fikir yang bukan-bukan. Jadi ia cenderung membuatkan kita terfikir yang tidak sepatutnya. Minta kita semua dijauhi perkara yang tak elok.
“Apa yang menyedihkan, terdapat anak muda yang tidak tahan mental mengambil dadah kononnya boleh menenangkan fikiran yang sedang kusut. Percaya atau tidak, penyalahgunaan dadah itu akan menjurus seseorang kepada penyakit kemurungan dan akhirnya bunuh diri. Tiada istilah boleh tenangkan diri dengan dadah. Itu bukan tenang tetapi menghancurkan diri,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, keluarga perlu memainkan peranan dan ambil tahu masalah anak. Tanpa pengawasan yang betul, anak-anak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.
“Apabila orang muda ini jauh daripada keluarga atau tidak mendapat perhatian, maka kawan-kawanlah menjadi tempat mencurah rasa. Kalau mengadu pada kawan yang salah, dibimbangi dadah menjadi saranan untuk selesaikan masalah.
“Maka bermulalah episod merosakkan diri sendiri apabila menjadi ketagihan. Bagaimana dengan masa depan mereka? Jadi janganlah pandang remeh masalah mental terutamanya anak-anak muda yang baru nak kenal dunia,” ujarnya.
JANGAN HUKUM DIRI
Menyentuh soal anak muda yang mudah stres atau putus asa dalam hidup apabila gagal dalam percintaan, Aaron sempat berpesan apa sahaja yang berlaku, kita sebagai hamba-Nya perlu wajib percaya qada dan qadar yang telah diaturkan Allah.
“Disebabkan cinta, ada yang sanggup membunuh, mendera dan menabur fitnah dan sebagainya. Itulah situasi sebenarnya. Zaman sekarang dah tak macam dulu.
“Anda semua kena percaya dalam soal jodoh. Kalau sudah ditakdirkan untuk kita, ia akan jadi milik kita. Kalau tiada jodoh, ingatlah dunia ni bukan hanya ada seorang perempuan atau seorang lelaki sahaja,” tegasnya.
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Masalah atau dugaan yang datang memang menguji kesabaran namun pastinya ada hikmah di sebaliknya.
“Apa yang penting, percaya atau beriman. Kalau kita kehilangan seseorang, kita tak tahu apa hikmah di sebaliknya. Mana tahu Allah nak selamatkan kita. Mungkin kalau kita bersama orang yang kita suka itu, hidup kita akan lebih sengsara.
“Sakit kerana cinta atau yang berkaitan hati ini memang sangat perit untuk orang yang kecundang atau kecewa dalam percintaan. Apa-apa pun kita kena faham, inilah kehidupan. Hidup tidak selalunya indah. Kadang-kadang kita kena lalui derita, jatuh bangun. Itu normal.
“Semua itu bukanlah pengakhiran hidup. Janganlah terlalu fanatik dengan seseorang. Sebab kalau terlalu fanatik, apabila dia tidak ada, itu yang boleh merosakkan kita,” katanya.
SAYU YANG SYUKUR
Nama Aaron Aziz sudah cukup sinonim dengan naskhah filem yang bertemakan cinta. Bersandarkan pengalaman yang luas dalam dunia lakonan, Aaron diberi peluang untuk mengarahkan naskhah cinta berjudul Sayu Yang Syukur.
Aaron berkata pembabitannya dalam filem tersebut selaku pengarah bermula setelah ditawarkan sendiri oleh Penerbit Eksekutif, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada tahun 2015.
“Pada awalnya saya diberikan peluang untuk berlakon sahaja, namun arwah kemudiannya menawarkan kepada saya untuk mengarah filem ini. Ini satu peluang yang tidak harus dilepaskan memandangkan saya tak pernah mengarah sebuah filem cinta,” ujarnya.
Selain Aaron, Sayu Yang Syukur juga turut menampilkan Nora Danish dan Arja Lee sebagai teraju utama.
Jelas Aaron, watak Qudaim yang dibawanya berbeza daripada karakter yang pernah dibawanya sebelum ini.
“Nak tahu apa perbezaannya, kenalah tonton nanti. Saya pun ada kongsi trailer filem Sayu Yang Syukur ini dalam media sosial saya. Siapa yang dah tengok, mesti cakap ia watak yang belum pernah saya lakonkan.
“Sebagai pelakon dan pengarah untuk filem ini, saya ada peluang untuk mempelbagaikan karakter dan tidak terhad untuk saya mencuba yang baharu, sebab itulah ada perbezaan watak Qudaim itu,” ujarnya.
Menurut Aaron, filem ini bukan berkisarkan konflik percintaan semata-mata, malah banyak elemen lain yang menarik.
“Filem ini bukan sahaja kisah dua orang lelaki merebut seorang wanita, ia memaparkan banyak aspek atau sudut. Antaranya adalah aspek kekeluargaan. Tidak dinafikan ada di luar sana, keluarga yang ada segalanya-galanya, tetapi apabila Allah menarik satu nikmat dari segi kesihatan, memang tidak ada nilai. Duit banyak pun tak boleh beli kesihatan.
“Selain itu, filem ini juga menekankan soal kesihatan mental, kekuatan seorang wanita dan soal jodoh. Kalau kita orang baik, kita akan dijodohkan dengan orang yang baik.
Tambahnya lagi, di akhir filem tersebut turut dimasukkan sepotong ayat Al-Quran yang menekankan tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Ternyata ia bukan sebuah kisah cinta yang klise tetapi lain daripada filem yang pernah ditonton.
“Saya tengok 20 kali pun, setiap tontonan itulah saya menangis,” ujar Aaron kepada Wilayahku. – WILAYAHKU