Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
MENONTON drama pukul tujuh memang mengasyikkan kepada sesetengah orang. Dalamnya ada kehidupan yang penuh kemewahan, kebahagiaan dan manusianya pula kacak dan jelita. Malah semua yang dipaparkan itu hampir tidak tersingkap dalam realiti kehidupan di sekeliling kita.
Misalnya pada usia yang sangat mentah sudah memimpin syarikat korporat yang urusan perniagaannya bernilai ratusan juta ringgit. Relung kehidupan terlalu lurus dan tidak ada tentangan dalam mencapai kesenangan untuk tujuh keturunan selepas itu. Ah, mudahnya sebuah kehidupan yang terhidang kepada kita.
Hal-hal sedemikian sedikit sebanyak membuatkan khalayak di luar drama yang hidup penuh sukar berimpian menjadi seperti manusia dalam drama. Itulah yang mengisi ruang tamu khalayak yang realiti hidupnya jauh berbeza dengan dengan kehidupan dalam drama.
Kalau penggemar drama itu seorang anak muda, sedikit sebanyak tercetus juga impian mahu menjadi seperti watak yang berjaya dalam kerjaya dan kehidupan.
Kalau wanita pula mulalah menganyam impian mahu menjadi individu cantik yang sering berdampingan dengan lelaki kaya dan ternama.
Bukan itu sahaja malah boleh berpeleseran dengan kereta sport mewah dan tidak lagi bergayut dalam LRT yang sesak padat sewaktu pergi atau pulang dari tempat kerja.
Paparan yang disaksikan itu berpotensi mempengaruhi cara sesetengah dalam kalangan kita menilai dan merangka sesebuah kehidupan.
Biarpun sesetengah pihak menganggap paparan itu sebagai ‘korporat jadian’ akan tetapi tanpa sedar itulah juga ruang es kapisme bagi sesetengah dalam kalangan yang kurang berkemampuan. Ruang melarikan diri daripada realiti sosial yang tidak seindah sosial fantasi dalam drama.
‘Drama pukul tujuh’ adalah salah satu daripada banyak lagi kandungan di stesen televisyen. Formula kandungan seperti itu mendapat sambutan daripada penonton yang mulanya hanya mahu melarikan seketika daripada realiti hidup yang keras. Bagaimanapun tanpa sedar mereka turut membina impian apabila hal itu berulang-ulang melintas di depan mata.
Melihat dan tumpang menikmati kehidupan orang lain yang penuh kemewahan memang sangat melekakan. Akan tetapi kehidupan yang sebenar tidak semudah dan seindah yang dilihat daripada orang lain. Apa lagi hanya dalam ‘dunia’ drama yang dibina mengikut kehendak khalayak.
Kuala Lumpur misalnya adalah kota yang dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada setinggi-tinggi hinggalah serendah-rendah tangga sosialnya.
Semuanya berdepan dengan tentangan serta kesukaran yang tersendiri dalam memberi makna pada sebuah kehidupan.
Hakikatnya relung kehidupan yang dilalui tidak sama dengan sesuatu yang dilihat daripada orang yang lain. Itulah uniknya kehidupan yang penuh warna-warni dan kita adalah sebahagian penggeraknya. Kalau benar paparan dalam ‘drama pukul tujuh’ itu sekalipun, anggaplah itu bukan kita tetapi kehidupan orang lain.
Tentu sekali tidak wajar untuk mengukur kehidupan sendiri dengan menggunakan pembaris orang lain. Tidak wajar melihat diri sendiri daripada cermin yang dimiliki orang lain. Hal itu kerana kebahagiaan atau kedukaan dalam menjalani kehidupan adalah berbeza antara seorang dengan yang lain.
Kalau tidak nampak kesukaran hidup yang dihadapi orang lain, bukan bermakna semua orang memiliki kebahagiaan dan kesempurnaan. Pada era media sosial yang diapung atau dipaparkan adalah yang sempurna. Yang baik-baik belaka. Yang tidak sempurna hanya empunya diri sahaja yang tahu.
Pada semua zaman, kehidupan yang sebenarnya adalah keras, amat mencabar dan tidak semua yang diimpikan boleh dipetik menjadi realiti dalam kehidupan. Semuanya terpaksa melalui fasa-fasa tertentu, kecuali golongan yang sememangnya mewarisi kekayaan yang tujuh keturunan daripada datuk nenek mereka.
Jadilah realistik
Itupun hanya sudut kekayaan, tetapi kebahagiaan adalah soal lain yang tidak dapat diukur dengan kekayaan. Banyak juga yang menjalani kehidupan yang serba sederhana tetapi menikmati kebahagiaan melampaui golongan yang lebih kaya.
Orang bijak pandai selalu meyakinkan bahawa setiap kehidupan itu ada kemanisannya biarpun tidak seperti yang diimpikan. Malah tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Sekalipun begitu kegagalan tidak sewajarnya merencatkan sesuatu yang membahagiakan.
Dalam kalangan kita, secara kasarnya terbahagi kepada dua kelompok, pertama yang realistik terhadap kehidupan yang sedang dan akan dilalui. Sama ada susah atau senang, mereka berdiri dengan penuh yakin kerana percaya hidup itu seperti roda, tidak selamanya berhenti pada satu kedudukan sahaja.
Sementara kelompok kedua adalah mereka yang terlalu ideal terhadap kehidupan. Kemudian menjadikan orang di persekitaran hidupnya sebagai cermin ukurnya. Mereka memiliki harapan dan impian yang tinggi, tetap pantas kecewa apabila ada yang tidak menjadi kenyataan.
Mereka yang realistik mendepani kehidupan dengan melihat dunia daripada kaca mata yang lebih objektif. Menerima kenyataan yang seadanya dan menghadapi sesuatu dengan sikap yang lebih waras. Malah realistik bahawa tidak semua impian akan menjadi kenyataan.
Dalam pada itu terus berusaha berdepan tentangan dengan bijaksana dan mengambil langkah-langkah yang realistik. Hal yang demikian menjadikan mereka menghargai segala sesuatu yang dimiliki saat ini dan berusaha memperbaiki diri tanpa banyak membandingkan dengan orang lain.
Mereka yang realistik adalah golongan yang tidak pantas terpesona dengan individu yang sering memaparkan kemewahan. Kepada mereka, itu adalah kehidupan orang lain yang tidak menjadi tanggungannya. Hendak paparkan gambar membeli-belah di Pavilion sebanyak mana sekalipun, tidak menjadi masalah kepada yang berfikiran realistik.
Maka tidak perlu berasa kecil dan terpencil apabila melihat orang lain bergaya dengan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya sentiasa ingat bahawa setiap orang memiliki perjuangan dan rintangan yang tersendiri serta tidak lupa bersyukur dengan sesuatu yang dimiliki.
Kalau orang lain membeli-belah di Pavilion, makan di tempat-tempat mewah, apakah itu mendatangkan masalah kepada orang lain? Tentu sekali tidak. Lalu untuk apa sesetengah dalam kalangan kita yang tidak mampu berbuat demikian menjadikan itu sebagai masalah?
Maka untuk hidup tenang dan bahagia, kurangkan membandingkan kehidupan dengan orang lain. Biarlah ‘drama pukul tujuh’ dengan kehidupan watak-wataknya yang luar biasa mewahnya. Biarlah orang lain memperagakan kemewahan di media sosial kerana semua itu bukan satu kesalahan, juga bukan mendatangkan masalah kepada kita.
Anggaplah semua kemewahan yang dipaparkan itu tidak lebih sebuah album gambar. Tidak ada yang menyimpan gambar yang tidak cantik atau sempurna dalam album untuk tatapan orang lain. Begitulah juga dengan media sosial, yang indah-indah sahaja yang dipaparkan untuk dilihat oleh orang lain.
Percayalah, hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur tidak semudah dalam drama. Perjuangan dan tentangan selalunya bergerak seiring dalam merintis relung kehidupan yang bermakna. Berhenti bercita-cita menjadi ‘orang lain’ dalam membina kehidupan yang semestinya tidak sama antara satu dengan yang lain. – WILAYAHKU