Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
GENERASI yang lahir selepas tahun 1990-an adalah kelompok anak muda pada hari ini. Mereka adalah generasi yang menyambut kemunculan era digital yang bersamanya ledakan maklumat dan telefon pintar menambahkan satu lagi keperluan hidup.
Mereka yang kini berusia lingkungan 30-an tentunya terlepas menikmati pengalaman menjadi anak muda era sebelum kemunculan Internet, digital dan media sosial. Itulah era perhubungan secara konvensional – pondok telefon awam dan duit syiling.
Antara dua era itu telah berlaku banyak perubahan – terutama sekali teknologi. Ledakan teknologi menjadi pemangkin perubahan sosial dalam kalangan anak muda. Mereka menjengah era yang kehidupan manusia dibentuk oleh kepesatan teknologi dan lebuh raya maklumat.
Semua itu tidak pernah dibayangkan oleh generasi muda pada era sebelumnya. Generasi anak muda era saya misalnya hanya tahu teknologi tercanggih adalah telefon, televisyen dan radio. Tidak pernah membayangkan yang dunia boleh berada di telapak tangan.
Generasi anak muda masa kini pula tidak dapat membayangkan peralatan tercanggih dalam kerjaya saya adalah mesin taip. Ia menjadi alat penting dalam dunia persuratkhabaran dan untuk kerja-kerja di pejabat. Malah ada yang tidak pernah melihat mesin taip apabila komputer atau tablet mengambil tempat.
Ketika itulah tumbuh dengan banyaknya kelas trengkas dan menaip sebagai persiapan untuk memasuki bidang pekerjaan. Hal itu kerana dalam temu duga untuk jawatan tertentu seperti kerani memerlukan kepantasan menaip. Belum wujud lagi istilah copy and paste.
Ada yang bertanya, apakah yang dibuat oleh anak muda pada era sebelum kewujudan media sosial dan Internet? Ketika ini media sosial telah mengambil banyak masa anak muda dalam bersosial secara maya. Mereka tidak dapat membayangkan hidup tanpa media sosial dan telefon pintar.
“Apakah orang muda duhulu buat ketika berjumpa kawan-kawan atau keluar bersama-sama keluarga?” tanya seorang anak muda yang berusia akhir 20-an ketika kami bertegur sapa di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur. Dia kelihatan ingin mengetahui akan keadaan sosial pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Saya beritahu, “Kami bebas daripada gangguan media sosial dan telefon pintar. Ketika itulah kami berbual tentang banyak perkara yang berlaku dalam lingkaran sosial setempat juga di dunia antarabangsa. Kami berbual tentang pertelagahan dan pembersihan etnik di Bosnia awal 1990-an.”
“Berat juga topik perbualan orang muda zaman dulu,” katanya yang tidak tahu berlaku pembunuhan pembersihan etnik pada akhir abad ke-20 itu. Hanya pernah mendengar nama Bosnia, akan tetapi tidak terbayang dahsyatnya tragedi di negara Islam itu.
Dia memandang tepat kepada saya apabila saya berkata anak muda sebelum mereka ikut berfikir dan berdiskusi tentang pergolakan di seluruh pelosok dunia. Saya menyakinkan dia bahawa era itu masa anak muda belum dicuri oleh teknologi digital.
Sebelum ini kalau melepak dengan kawan-kawan pun sudah seperti acara diskusi – bercakap hal-hal di luar lingkaran diri sekalipun laluan untuk mendapat maklumat sangat terhad. Malah susah untuk mendapat bahan bacaan yang bermutu kecuali memerap di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Jalan Raja Laut.
Anak muda di Kuala Lumpur zaman dahulu mempunyai rasa yang agak tinggi terhadap hal-hal yang bersangkutan dengan seni dan budaya. Selain golongan anak muda yang menggemari budaya pop seperti muzik, banyak juga yang membina apresiasi terhadap seni.
Mereka itulah yang memenuhi ruang panggung setiap kali pementasan teater. Terdedah dengan karya-karya agak berat dan itulah bahan yang dibawa ke warung ketika bersembang. Saya selalu terkenang zaman itu yang memberikan banyak ilham dalam kerjaya kewartawanan.
Tidak banyak bahan yang menjurus pada hiburan berkualiti rendah. Kalau ada pun sumbernya daripada majalah-majalah hiburan. Generasi anak muda sezaman saya di Kuala Lumpur agak beruntung kerana stesen televisyen – RTM dan TV3 tidak terlalu dibumbui dengan kandungan bercorak hiburan murahan.
Pada zaman itu paling membuang masa pun hanya melepak di tepi tembok atau tangga pusat membeli-belah sambil memperagakan motor kapcai masing-masing. Antara kawasan yang menjadi tumpuan penunggang kapcai melepak ialah Kompleks Pertama, Kompleks Campbell, Dayabumi dan Ampang Park.
Saya fikir orang muda ketika itu agak beruntung kerana masa mereka tidak terbuang dengan percuma – misalnya lebih lima jam sehari di telefon pintar. Orang muda sekarang lebih banyak melihat skrin telefon daripada melihat muka kawan ketika bersembang.
Pada sudut yang lain pula, anak muda sekarang sangat beruntung kerana dunia berada dalam telapak tangan mereka. Era anak muda masa kini dunia menjadi sangat ‘kecil’, semua yang berlaku diketahui pada masa itu juga.
Berbanding generasi saya dahulu, akses kami adalah sangat terhad. Untuk membaca surat khabar harian dari luar negara kena menunggu seminggu untuk sampai ke kedai buku. Itu pun harganya sangat mahal dan tidak mampu membeli.
Sekarang anak muda beruntung sekiranya memanfaatkan kecanggihan teknologi berada dalam di telapak tangan. Mudah sekali untuk membaca bahan bacaan dari luar negara. Surat khabar harian dalam talian dari luar negara meluaskan jangkauan alam fikir selain bahan-bahan tempatan.
Adalah satu pemandangan biasa apabila sekumpulan anak muda sekarang melepak di restoran. Mereka tidak banyak bercakap kerana semuanya bersembang dengan rakan di alam maya.
Saya secara peribadi gembira dengan kepesatan teknologi digital. Akan tetapi semua itu seperti sebilah garfu – kalau disalah guna boleh mendatangkan kerosakan dan bahaya. Misalnya usia muda yang berharga dihabiskan secara sia-sia untuk mengunyah sampah sarap yang bertebaran di alam maya.
Tidak ada istilah terlambat untuk berubah. Bertekad dan mulakan dengan iltizam baharu untuk menguasai dan memanfaatkan, bukannya membiarkan diri kita dikuasai oleh ledakan digital. – WILAYAHKU