Artikel

Hidup Ross bagai roda

- Diterbit 27 Oktober 2023 12:15 AM MYT

BENARLAH langit tidak selalu cerah. Putaran hidup ibarat roda, ada kala di atas ada kala di bawah. Ada masa melalui saat bahagia tetapi takdir Allah juga menentukan bahagia boleh berubah menjadi derita.

Inilah nasib yang menimpa komposer Ross Ariffin, 61. Daripada seorang pencipta lagu terkenal yang menghasilkan beberapa lagu hebat untuk penyanyi tanah air, kini dia hidup susah menjadi seorang gelandangan.

Antara lagu popular ciptaan Ross ialah ‘Dia’ (Fauziah Latiff), ‘Kau dan Aku’ (Ning Baizura), ‘Kurniaan Dalam Samaran’ (Siti Nurhaliza), ‘Semalam Ku Tolak Ke Tepi’ (Liza Aziz) dan banyak lagi.

Kawan-kawan Kedai Kopi turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Ross. Jika dahulu disanjung dan dipuja serta dicari oleh penyanyi serta syarikat rakaman, kini dia dilupakan. Nasib dirinya tidak menentu, ke sana ke mari mencari tempat bernaung dan mencari makan.

Dia hidup di jalanan, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan berpindah- randah sejak tiga tahun lalu. Pernah tinggal di Pasar Seni Kuala Lumpur dan Melaka, kini khabarnya tinggal di sebuah rumah perlindungan di Pudu.

Untuk menambah deritanya, dia pernah dua kali diserang angin ahmar menyebabkan sukar bergerak dan bercakap. Lantaran itu juga dia menghadapi masalah untuk bekerja mencari pendapatan.

Ross bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu dan mempunyai dua orang anak. Tetapi dia sendiri tidak berhubung dengan mereka kerana tidak mahu anak susah hati dengan keadaannya.

Namun kawan-kawan Kedai Kopi percaya dengan tersiarnya pelbagai cerita mengenai dirinya kebelakangan ini, bekas isteri dan anak-anak akan tahu juga perkembangan dirinya.

Demi meneruskan hidup, Ross pernah bekerja melipat tuala dan cadar di sebuah hotel bajet di Melaka tanpa bayaran. Cuma dia dibenarkan menginap percuma di hotel tersebut.

Ross masih menyimpan harapan untuk kembali mencipta lagu apabila keadaan kesihatannya bertambah baik. Baginya mencipta lagu adalah kerjaya yang sudah sebati dengan dirinya dan berharap dia akan mampu menghasilkan lagu seperti dahulu.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap dia akan dapat merealisasikan harapan tersebut agar boleh melalui jalan kehidupan yang lebih cerah berbanding sekarang. Mungkin dalam hal ini, persatuan-persatuan seni tanah air boleh membantu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas