Artikel

Hidup harmoni hormati jiran

- Diterbit 4 April 2024 12:54 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini bertindak tegas memotong dan merobohkan struktur besi di sebuah kediaman strata di Wangsa Maju, setelah nasihat, peringatan dan notis amaran tidak diendahkan oleh penghuni unit berkenaan.

Malah DBKL telah memberi pilihan kepada pemilik agar merobohkan sendiri struktur berkenaan tetapi enggan melakukan. Kerana kedegilan ini, DBKL terpaksa bertindak meroboh struktur yang didirikan tanpa kebenaran sehingga menyusahkan penghuni lain.

Operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai jabatan DBKL seperti Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta dibantu oleh pasukan polis.

Apa yang kawan-kawan Kedai Kopi faham, di kediaman pemilikan strata, memang tidak dibenar sama sekali mendirikan sebarang bentuk struktur atau tambahan, atau menghalang laluan. Ini kerana kawasan tersebut dianggap tempat awam, milik bersama para penghuni yang mendiami blok berkenaan.

Sewajarya peraturan ini difahami oleh penghuni, tambahan syarat ini telah dimaklumkan oleh DBKL kepada semua penghuni. Namun ada yang degil mendirikan juga struktur di unit kediaman, seolah-olah itu adalah kawasan eksklusif untuknya.

Tidak cukup dengan itu, ada penghuni yang menjadikan laluan atau koridor di hadapan unit kediaman sebagai kawasan peribadi. Mereka meletakkan pelbagai barangan di situ, termasuk barang-barang lama yag sepatutnya dibuang tetapi disimpan.

Terdapat juga pemilik unit berstrata yang tinggal di aras tanah, bertindak membuat pengubahsuaian sesuka hati, termasuk membesarkan rumah. Jika unit persendirian pun memerlukan kelulusan DBKL untuk membuat ubah suai, apatah lagi di unit strata yang memang tidak dibenarkan.

Kawan-kawan Kedai Kopi berpandangan mereka yang mendirikan struktur atau membuat binaan tambahan haram bukan sahaja melanggar ketetapan DBKL, tetapi langung tidak menghormati keharmonian hidup dalam kalangan jiran yang tinggal di aras atau blok sama.

Mungkin ada yang berbuat demikian secara ‘curi-curi’. Jika tiada tindakan diambil dikira selamat. Tetapi jika ada aduan bersedialah menerima padahnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas