Singgah

Hidang Beef Wellington halal pertama

BEEF Wellington yang boleh dinikmati tanpa waswas.
- Diterbit 22 Februari 2025 12:45 PM MYT

PASTI ramai yang ingin mencuba Beef Wellington tetapi ragu-ragu tentang status halalnya. Namun anda tidak perlu risau kerana restoran ‘semi-fine dinning’ yang terletak di Conezion Putrajaya‚ Kay’s Steak & Lobster memiliki sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain Beef Wellington yang menjadi menu ‘signature’ restoran itu‚ jenama yang sudah wujud sejak 2014 itu turut mempunyai beberapa lagi menu istimewa lain yang tidak kurang enaknya. Antaranya stik ribeye dan udang kara yang menggunakan bahan-bahan premium dan segar serta diimport dari luar negara.

Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster‚ Muhammad Aizuddin Mohd Khalid berkata‚ mereka hanya memilih daging terbaik untuk menghasilkan Beef Wellington dan stik.

Sementara itu udang kara pula diimport dari Maine‚ Boston‚ Amerika Syarikat dan Kanada. Paling penting kata Aizuddin‚ udang diimport dalam keadaan masih hidup bagi memastikan kesegarannya.

“Kami sentiasa menjaga kualiti makanan pelanggan serta mahu mereka merasa berbaloi dengan setiap sen yang dibelanjakan di restoran kami. Oleh itu‚ kami sangat menjaga kualiti bahan mentah yang digunakan di restoran ini.

“Daging stik kami juga diimport dari ladang terbaik di Australia yang menggunakan daging jenis premium pembekal Stanbroke yang terbukti tinggi kualitinya dan tidak dibekukan. Paling penting dijamin halal‚” katanya.

Udang kara yang bersaiz 750 gram dijual pada harga lebih RM300‚ manakala stik dan Beef Wellington pula bermula pada harga RM130.

Selain Putrajaya‚ Kay’s Steak & Lobster memiliki tiga lagi cawangan lain iaitu di Putra Heights‚ Ampang dan baru saja merasmikan pembukaan cawangan terbarunya di Elmina‚ Shah Alam.

Kay’s Steak & Lobster juga merupakan lokasi makan yang mesra keluarga terutama sekali mereka yang mempunyai anak kecil.

“Dekorasi dalam setiap premis turut menjadi keutamaan kami bahkan cawangan Elmina dilengkapi ruang privasi buat mereka yang ingin menikmati hidangan dalam suasana private atau meraikan hari istimewa‚” tambahnya.

Menjelang Ramadan‚ Aizuddin dan pasukannya bakal menyajikan hidangan tambahan istimewa iaitu nasi lemak lobster berempah dan nasi lemak rendang short rib berempah selain menyajikan menu sedia ada.

Sementara itu‚ katanya Kay’s Steak & Lobster turut dalam perancangan membuka satu lagi cawangan baharu di KLGCC Kuala Lumpur pada Ogos ini dengan konsep berbeza.

Seterusnya adalah mengintai untuk memasuki pasaran Johor Bahru dan Pulau Pinang pada suku tahun pertama 2026. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas