AHLI Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Perdana Menteri agar rakyat Malaysia menghentikan segala bentuk ejekan dan penghinaan berunsur perkauman serta keagamaan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan keagamaan semakin membimbangkan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum.
“Malaysia telah lama berdiri atas asas saling menghormati dan bertoleransi. Namun, kebelakangan ini, kenyataan tidak bertanggungjawab yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama semakin menjadi-jadi. Jika dibiarkan, ia boleh menimbulkan kebencian serta konflik yang lebih serius,” katanya kepada Wilayahku hari ini.
Lam Thye menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam sistem demokrasi, namun ia mesti diamalkan dengan penuh tanggungjawab.
“Apabila kebebasan ini digunakan untuk menghina, memperlekeh, atau mencetuskan permusuhan, ia bukan lagi satu bentuk ekspresi demokrasi, tetapi ancaman kepada perpaduan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin politik, tokoh masyarakat, dan pengguna media sosial agar mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum serta agama.
“Sebaliknya, mereka perlu memainkan peranan dalam memperkukuh mesej perpaduan dan saling menghormati.
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba mencetuskan provokasi dan ucapan kebencian.
“Perpaduan adalah kekuatan utama kita. Kepelbagaian Malaysia seharusnya menjadi kebanggaan dan kelebihan, bukannya punca perpecahan. Jalan ke hadapan perlu berpaksikan dialog, empati, dan komitmen bersama untuk memastikan negara terus harmoni,” tambahnya lagi.-WILAYAHKU