ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mendesak supaya Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diadakan berikutan insiden kebakaran di Putra Heights, Subang.
Menurut Pengarah Strategi, Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK, Bryan Ng Yih Miin, tindakan tersebut jelas bermotifkan kepentingan politik semata-mata.
“Ia tidak membantu serta menyokong kerja-kerja pihak berkuasa yang sedang giat menjalankan siasatan.
“Kerajaan Negeri Selagor, bersama agensi-agensi berkaitan, telah bertindak pantas dalam menguruskan insiden ini.
“Malah, pada hari yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirrudin Shaari telah turun ke lokasi kejadian bagi meninjau situasi secara langsung serta memastikan tindakan segera diambil untuk membantu mangsa dan mengawal keadaan.
“Malah, pasukan penyelamat, pihak berkuasa tempatan, dan agensi berkaitan telah dikerahkan segera untuk memberi bantuan kepada mangsa serta memastikan kawasan kejadian selamat. Siasatan juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan memastikan keadilan ditegakkan,” ujarnya.
Tegas beliau, pada waktu yang genting ini, semua pihak seharusnya memberi fokus kepada usaha membantu mangsa, bukannya mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan politik.
“AMK menegaskan bahawa keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan sebarang tindakan yang mencetuskan polemik politik hanya akan mengganggu usaha pemulihan dan siasatan.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa terbuka kepada pandangan serta idea daripada semua pihak, termasuk pembangkang, dalam usaha menyelesaikan isu ini secara konstruktif.
“Namun, tidak ada keperluan mendesak untuk mengadakan sidang khas DUN ketika ini. Sebarang cadangan boleh disampaikan melalui saluran yang betul tanpa perlu membazirkan masa dan sumber dalam perdebatan politik yang tidak membawa manfaat kepada mangsa serta masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.
AMK turut menggesa PN supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dengan menghentikan permainan politik dalam saat-saat krisis ini.
“Sebaliknya, semua pihak harus bersatu hati dalam memberi sokongan kepada mangsa, keluarga mereka, serta pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas mereka.
“AMK berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi yang terlibat dalam usaha pemulihan pasca insiden ini,” ujar beliau.
Dalam masa sama, AMK turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada semua mangsa insiden tersebut.
“Kami bersolidariti dengan mereka yang terkesan dan mendoakan agar mereka yang cedera diberikan kesembuhan segera. Semoga mangsa dan yang terkesan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” ujar beliau. – WILAYAHKU