Artikel

Henti perlekeh UiTM

- Diterbit 7 Jun 2024 10:40 AM MYT

SEBAGAI bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika ia masih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM), kawan-kawan Kedai Kopi terguris hati apabila ada penulis bukan Melayu yang melabelkan UiTM sebagai akademi apartheid.

Dia juga dengan sinis menyindir UiTM lebih sesuai disebut sebagai ‘Universiti untuk Melayu’ kerana pada tafsirannya universiti berkenaan hanya membuka ruang belajar kepada orang Melayu sahaja.

Tulisannya ekoran rasa tidak puas hati dengan pendirian tegas UiTM yang tidak membenarkan pelajar kaum lain mengikuti kursus kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotoraks yang ditawarkan melalui fakulti perubatan universiti tersebut.

Jelas penulis tersebut salah takrif. Hakikatnya UiTM ditubuhkan sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) untuk Bumiputera. Skop Bumiputera lebih luas, bukan hanya Melayu. Ia merangkumi rakyat pribumi, termasuk orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Penubuhan UiTM selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153:163 yang menetapkan ia sebagai institusi pengajian untuk Bumiputera. Sebarang cara atau usaha memperlekeh peruntukan ini adalah seperti menyanggah Perlembagaan Persekutuan.

UiTM bermula pada 1956 dengan nama Pusat Latihan Perindustrian dan Desa (RIDA) sebelum ditukar kepada Maktab Majlis Amanah Rakyat (Maktab MARA). Seterusnya ia berubah nama kepada ITM pada 1967. Pada 1999 ia dinaik taraf menjadi universiti.

Sudah berpuluh tahun UiTM beroperasi, menghasilkan ribuan graduan Bumiputera dalam pelbagai bidang pengajian untuk keperluan tenaga kerja peringkat pertengahan, juga peringkat pengurusan dan ikhtisas. Ia juga berjaya menempatkan diri antara universiti ulung di negara ini.

Oleh itu tidak harus wujud iri hati dengan kejayaan UiTM serta mendesak ia membuka pintu kepada bukan Bumiputera. Bukankah sudah banyak Institut Teknologi Mara (IPT) di negara ini yang memberi ruang kepada pelajar bukan Bumiputera. Kenapa UiTM dicemburui?

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas