Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
ANAK yang ditatang bagaikan minyak yang penuh sejak kecil apabila dewasa menconteng arang ke muka ibu bapa. Sudah tentu ia suatu situasi yang sangat perit untuk diterima oleh sesiapa sahaja di dunia ini.
Itu belum lagi perlu berdepan dengan stigma masyarakat yang memandang serong apabila anak yang disayangi hamil luar nikah. Dek kerana itu ada sesetengah ibu bapa yang hilang pertimbangan sehingga sanggup memutuskan hubungan pertalian darah antara mereka.
Biarpun berat untuk ditelan namun keluarga mahupun masyarakat perlu membuang persepsi negatif sebaliknya melihat kumpulan itu sebagai golongan yang perlu dibantu kerana ada di antara mereka masih mempunyai masa hadapan yang cerah.
Menurut Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, semangat gadis yang terjebak dengan situasi malang ini bukan sahaja perlu dipulihkan malah mereka wajar diberi peluang kedua lebih-lebih lagi sebilangannya mempunyai latar belakang keluarga serta pendidikan yang baik.
“Setiap manusia di muka bumi ini pernah melakukan kesilapan tetapi bagaimana cara untuk memastikan perkara itu ditebus serta perlu menjadi perkara paling penting dalam kehidupan masa hadapan.
“Di OrphanCare kita sentiasa mengalu-alu mereka yang mahu dibantu dan tidak akan sesekali mendiskriminasikan masa silam. Ini kerana kita tahu kesinambungan hidup dan masa depan mangsa serta anak mereka adalah perlu diutamakan.
“Disebabkan itu, selain menyelamatkan bayi yang dikandung, perkara yang menjadi keutamaan adalah memastikan semangat gadis ini dibina semula dan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain walaupun pernah membuat kesilapan.
“Apabila seseorang wanita hamil luar nikah, kita tidak boleh terburu-buru untuk menghukum. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Ada yang merupakan mangsa rogol atau mangsa keadaan dan ada juga yang telah melakukan kesalahan besar dalam hidupnya.
“Kita juga tidak boleh menilai berdasarkan umur. Kes hamil luar nikah bukan hanya berlaku kepada golongan muda malah terdapat kes di mana wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun turut terlibat. Yang lebih mengecewakan, walaupun lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan kehamilan, perempuan yang sering kali dipersalahkan.
“Memang mereka melakukan kesilapan tetapi cukuplah menjatuhkan hukuman kerana kebanyakan mereka adalah mangsa.
“Kebanyakannya termasuk mangsa rogol tidak mengenal apakah itu seks, apakah perlindungan ketika hubungan intim berlangsung serta mangsa terjebak dengan situasi tanpa kerelaan.
“Mereka sudah dihukum apabila berdepan dengan situasi itu dan tidak perlu menambah berat hukuman diterima. Mereka sudah melalui tahap yang begitu rendah dalam kehidupan mereka dan jika dibantu sedemikian, merekalah yang paling kuat dan cekal untuk terus hidup,” ujarnya.
Tambahnya, gadis yang mengandung anak luar nikah sekiranya dibantu biasanya akan menjadi individu yang begitu cekal dalam meneruskan kehidupan.
“Banyak sudah berjaya dan meneruskan cita-cita mereka, malah menjadikan pengalaman hidup sebagai batu loncatan untuk menjadi seperti orang lain,” ujarnya.
Riza menegaskan masyarakat harus melihat gadis ini sebagai mangsa dan bukannya menuduh mereka sebagai penzina yang sangat berdosa di sisi agama.
Peti selamat bayi
Di Malaysia, terdapat lapan baby hatch yang disediakan oleh OrphanCare yang mana organisasi tersebut mempunyai tiga pejabat utama yang terletak di Petaling Jaya, Sungai Petani dan Johor Bahru.
Sejak penubuhannya, OrphanCare telah berjaya menyelamatkan 604 bayi. Daripada jumlah tersebut, 106 bayi telah ditempatkan di dalam baby hatch.
“Alhamdulillah sehingga ke hari ini kita berjaya menyelamatkan 604 nyawa bayi yang tidak berdosa. Sepatutnya ada 604 lelaki yang perlu bertanggungjawab namun kerana sikap tidak bertanggungjawab inilah OrphanCare memainkan peranan untuk membantu membina semula kehidupan wanita-wanita ini.
“Ramai yang beranggapan bahawa baby hatch merupakan tempat untuk membuang bayi. Sebaliknya, ini merupakan peti untuk menyelamatkan bayi.
“Matlamat utama baby hatch ini adalah untuk melindungi bayi daripada dibuang atau digunakan dalam keadaan berbahaya. Walaupun dalam situasi yang penuh ketakutan, baby hatch menawarkan tempat selamat untuk ibu meninggalkan bayi mereka tanpa sebarang soal jawab,” ujarnya.
Riza berkata terdapat pelbagai punca pembuangan bayi dan ada yang berpunca daripada kurangnya pendidikan agama.
“Ramai antara wanita yang terlibat dalam kes ini adalah wanita Islam termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan merupakan pelajar universiti. Walaupun begitu, faktor pergaulan yang kurang bijak turut menyumbang kepada masalah
ini.
“OrphanCare berperanan besar dalam mengurangkan masalah ini dengan memberi sokongan, kaunseling dan penyelesaian kepada mereka yang memerlukan. Kita juga memberi tumpuan untuk memastikan bayi yang diselamatkan tidak dihantar ke rumah anak yatim kerana kehidupan di situ agak terhad. Sebaliknya, mereka berusaha mencari keluarga angkat bagi memberikan peluang kehidupan yang lebih baik kepada bayi-bayi ini.
Tambahnya, buang bayi adalah jenayah dan disebabkan itu masyarakat atau orang terdekat perlu berusaha memastikan tiada tambahan tekanan ke atas golongan tersebut.
“Sekiranya anda tidak mampu menyokong secara mental, serahkan gadis itu kepada pihak yang mampu menyokongnya kerana di Malaysia ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan sokongan antaranya Rumah Nur.
Beri tumpuan pendidikan seksual
MEMANDANGKAN kes luar nikah membabitkan remaja yang tidak berpenghujung, baik remaja perempuan mahupun lelaki perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi berhubung pendidikan seksualiti serta kesihatan reproduktif.
Riza berkata pendidikan kesihatan reproduktif tersebut supaya mereka lebih bersedia dan bertanggungjawab untuk tidak terjerat dengan perbuatan hamil luar nikah.
“Selain itu, pengajar mestilah tidak prejudis dalam memberikan maklumat kepada remaja dan tidak menghakimi remaja yang terlibat dalam tingkah laku berisiko. Inilah yang dipanggil stigma dan ini akan menjauhkan remaja daripada mendapatkan maklumat dari sumber yang betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata maklumat dan panduan untuk ibu bapa mengenai pendidikan kesihatan reproduktif yang sesuai untuk dibicarakan bersama anak boleh didapati secara percuma daripada pelbagai sumber yang sahih, tidak kira melalui program fizikal atau atas talian.
“Ibu bapa perlu jelas menyatakan peraturan dan nilai dalam keluarga dan pada masa sama, memberi anak ruang untuk memberi pandangan selain ibu bapa perlu bersedia untuk menyesuaikannya mengikut keperluan.
“Pada kebanyakan masa, ibu bapa tidak bersikap terbuka dan mengelak daripada berbicara mengenai kesihatan reproduktif. Ini menyebabkan anak remaja banyak berahsia dan akan belajar daripada sumber lain disebabkan sifat ingin tahu mereka yang tinggi. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila mereka ingin mencuba apa yang mereka pelajari daripada sumber salah.
“Tugas mendidik anak remaja kita bukan hanya terletak kepada guru, ibu bapa dan kerajaan. Ia juga tugas kepada semua masyarakat termasuk badan korporat. Anak remaja adalah aset negara yang akan menjadi tenaga kerja bagi menggerakkan serta memimpin negara kelak,” ujarnya. – WILAYAHKU