MENCIPTA kejutan dan selayaknya menang apabila lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh yang dinyanyikan oleh Marsha Milan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan ini membolehkan mereka berjaya membawa pulang hadiah utama RM100,000 beserta trofi.
Tempat kedua pula dimenangi lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.
Manakala, lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret ciptaan Akim & The Majistret dan lirik Bunga Cantik meraih tempat ketiga dengan RM30,000 berserta trofi.
Seperti yang dijangka, Anugerah Vokal Terbaik pula dimenangi oleh Ernie Zakri menerusi lagu Aura yang berjaya membawa pulang RM12,000 beserta trofi.
Manakala kategori Persembahan Terbaik yang turut membabitkan undian penonton dimenangi Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah sekali gus berjaya meraih RM12,000.
Sepuluh lagu yang mara ke malam kemuncak AJL39 adalah Sengaja nyanyian Amir Masdi, ciptaan dan lirik oleh Bunga Cantik dan Hang Nadim; Puas Sudah (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Saksama (Akim & The Majistret/Akim & The Majistret & Bunga Cantik).
Turut bersaing, Diam (Hael Husaini/Hael Husaini & Iqie Hugh/Hael Husaini & Iqie Hugh); Hening Rindu (Marsha Milan/Ikhwan Fatanna & Wan Salleh/Ikhwan Fatanna) dan Aura (Ernie Zakri/Ernie Zakri & John Jeeves/Ernie Zakri & John Jeeves).
AJL39 dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada Datuk Ahmad Izham Omar, Datuk Hattan, Datuk Fauziah Nawi, Fauziah Latif, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar, dan Edry Abdul Halim sebagai ketua juri.
AJL39 dengan tema NADA RASA, menampilkan gandingan hos dua generasi iaitu Naz Rahman bersama Sissy Imann yang berjaya mengemudi malam kemuncak dengan gaya mereka serta energi segar.
Manakala acara Karpet Merah pula dihoskan oleh Fikry Ibrahim dan Malia Baby.
AJL39 menampilkan persembahan bertenaga dari Wany Kayrie, Ara Johari, Shiha Zikir & Noki sebagai pembuka tirai.
Lebih istimewa, ia juga diserikan dengan kemunculan khas Datuk M. Nasir yang membawakan lagu runut bunyi dari filem Ejen Ali The Movie 2, berjudul Hanya Kamu
Turut tampil menghiburkan peminat ialah dua penyanyi rock terkenal 1990-an iaitu Amir Ukays dan Sham Visa.
Amir menyampaikan lagu Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
Manakala Sham pula menyampaikan lagu Untukmu Selamanya dan Dalam Gerimis. – WILAYAHKU