Atlet Wilayah

Hatrik paling bermakna untuk skuad bola jaring WiPers

SKUAD bola jaring WiPers bakal menyahut cabaran bagi merangkul kejuaraan kali kesembilan pada SUKMA 2024
- Diterbit 2 Ogos 2024 4:17 PM MYT

KEJAYAAN mempertahankan gelaran juara serta mencipta hatrik bersama anak buahnya di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 bakal menjadi hadiah perpisahan paling bermakna buat Ketua Jurulatih Bola Jaring Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers), Norizan Rajab.

Norizan berkata rata-rata pemain dalam kalangan skuad itu bukan asing baginya dan beliau optimis latihan fasa akhir yang berbaki 19 hari itu sudah dirangka sebaiknya walaupun tanpa menyertai sebarang latihan di luar negara.

“Memandangkan potensi atlet yang saya bimbing selama empat tahun sebelum ini masih berada dalam skuad, jadi rasa agak kesian untuk tinggalkan pasukan sebelum SUKMA 2024 bermula.

“Lebih baik teruskan dominasi itu dan harapnya dapat pertahankan lagi kejuaraan serta cipta hatrik bagi edisi kali ini,” ujar beliau.

Sebelum ini, Norizan memaklumkan mahu berhenti mengendalikan skuad itu bagi mengubah haluan sebagai penasihat pasukan setelah memacu kejayaan skuad WiPers yang muncul juara pada edisi ke-20 selepas menewaskan Pahang pada pentas final di Kuala Lumpur.

Saingan bola jaring bakal berlangsung di Dewan Politeknik Mukah bermula 17 hingga 23 Ogos ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas