Selebriti

Hasrat tertangguh Nadia Brian

- Diterbit 29 Disember 2023 10:40 AM MYT

HANYA beberapa hari lagi sahaja lagi kita akan menyambut tahun baharu 2024. Setiap individu pasti mempunyai hasrat dan azam baharu sebagai motivasi untuk menjadi insan yang lebih baik pada tahun hadapan.

Begitu juga dengan pelakon sensasi Nadia Brian yang turut memasang impian tersendiri dalam menyambut tahun baharu. Namun dalam masa yang sama, pelakon filem Ratu Kala Jengking itu menganggap banyak kenangan sepanjang 2013 yang membuatkan dirinya lebih matang.

“Tahun 2023 boleh dikatakan satu kenangan terindah buat saya. Iya, kenangan pahit atau manis, kedua-duanya pasti memberi pengalaman dan membuatkan saya lebih matang dalam menjalani kehidupan.

“Bagi saya tiada apa yang perlu dikesalkan atas apa yang sudah berlaku kerana semuanya adalah ketentuan Allah. Apa yang terjadi, pasti ada hikmah yang perlu kita renung dan fahami. Ia tidak terjadi tanpa sebab,” katanya.

Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 31, terdapat beberapa impiannya yang tertangguh dan ingin dicapai pada tahun 2024.

“Seperti mana yang saya pernah beritahu media sebelum ini, saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi. Kalau ikutkan hasrat hati ini, harap sangat dapat bertemu jodoh tahun depan. Impian mahu berkahwin lagi itu tak pernah terpadam. Doakan ya!

“Kalau tak bertemu jodoh pun, sekurang-kurangnya dapat bertemu dengan lelaki istimewa, kekasih hati. Iyalah, saya ni dah lama single. Tambah pula dengan kesibukan bekerja. Shooting back to back sampai tak ada masa nak fikir soal lelaki. Nak dating pun susah bila dah sibuk.

“Jika kenal orang pun, di alam maya sahaja. Saya pun memang tak suka kenal lanjut melalui Internet atau media sosial. Sekarang ni bukan boleh percaya. Kena sentiasa berhati-hati.

“Tak tahulah siapa lelaki yang sudi kenal saya ni. Semoga Allah temukan dengan lelaki yang baik dan boleh terima saya seadanya. Namun dalam masa yang sama, tidaklah saya terdesak nak berkahwin atau mahu ada kekasih. Cuma, itulah impian yang ingin saya kongsi dengan peminat,” ujarnya yang pernah gagal dalam perkahwinan.

Terdahulu, Nadia dan bekas suaminya Muizz Nasruddin bercerai pada April 2021. Bagaimanapun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sambung belajar dan bisnes

Bukan sahaja cantik namun pelakon ini juga seorang yang berpelajaran tinggi. Antara hasratnya tahun ini, mahu menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi MARA UiTM.

Pemegang Diploma Seni Teater dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa UiTM Shah Alam ini berkata sudah lama cita-citanya itu tertangguh kerana kekangan masa.

“Impian saya, yang pertama saya nak sambung belajar. Insya-Allah saya akan tengok bidang apa yang sesuai. Kalau bidang seni pun, banyak cabang. Dah sampai masanya nanti saya beritahu.

“Selain daripada itu, saya juga tekad untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam kerjaya lakonan. Kalau boleh tak naklah berada di takuk lama. Saya nak terus belajar dan belajar.

“Kiranya tahun 2024 saya nak memperbaiki kelemahan atau kekurangan yang ada. Ini penting untuk terus kekal relevan dalam industri,” ujarnya selain minat berlakon dari kecil niat utamanya menjadi pelakon bagi membantu menyara keluarganya.

Tambahnya, dia juga lebih selektif memilih watak kerana ia berkait rapat dengan kepuasannya sebagai seorang pelakon yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri.

“Pemilihan watak juga penting. Ia sebenarnya menggambarkan di tahap mana nak letak diri kita. Dulu saya ambil semua karakter, orang cakap nak timba pengalaman masa mula-mula masuk industri. Alhamdulillah sekarang peminat dah tahu kemampuan,” jelasnya yang mahu terus memperkukuh bisnes produknya, Hernation. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas