Biz

Hasil cucuk tanam dikongsi

Sebahagian peserta yang mengusahakan rumah cendawan di Kebun Komuniti Kampung Kilan‚ Labuan.
- Diterbit 16 Disember 2024 7:20 PM MYT

LABUAN yang terletak bersebelahan dengan Tanah Besar Sabah sememangnya merupakan sebuah pulau yang kaya dengan pelbagai khazanah alam.

Bagi memanfaatkan kelebihan itu‚ pelbagai inisiatif dirangka pihak kerajaan antaranya melalui Program Kebun Komuniti untuk membina masyarakat aktif dalam bidang pertanian sekali gus bagi mendapatkan bekalan makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menyahut seruan itu‚ Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kampung Kilan mengusahakan sebidang tanah berkeluasan tiga ekar milik Perbadanan Labuan (PL) untuk menjalankan bidang pertanian secara kecil-kecilan.

Di bawah kelolaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menerusi Program KRT Progresif pada tahun 2016‚ kini Kampung Kilan berjaya mencapai pelbagai anugerah antaranya Johan Anugerah Aspirasi Desa Madani kategori Kampung Tradisional 2024‚ Pemenang tempat kelima bagi Projek Ekonomi Rukun Tetangga Terbaik 2023 peringkat kebangsaan dan bakal mewakili Wilayah Persekutuan ke Peringkat Kebangsaan tahun hadapan.

Menurut Pengerusi KRT  Kampung Kilan‚ Anjam Ucho‚ aktiviti Kebun Komuniti membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum untuk bercucuk tanam menggunakan tanah kerajaan yang terbiar dan hasilnya dikongsi bersama.

Ujarnya‚ Kebun Komuniti juga mampu menjamin kualiti makanan yang sihat dan selamat kerana tanaman tersebut bebas daripada semburan racun serangga selain menggunakan baja organik.

“Saya harap ia menjadi contoh terbaik kepada komuniti setempat untuk memanfaatkan hobi berkebun bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat selain mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Mula-mula dahulu‚ kita hanya mempunyai kurang daripada 10 batas konkrit sahaja‚ namun apabila jumlah peserta di kampung ini semakin bertambah‚ batas konkrit mencecah 20 di mana setiap peserta diberikan dua batas untuk diusahakan dengan pelbagai tanaman‚” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya‚ selain mengusahakan Kebun Komuniti pihaknya turut menjalankan pelbagai tanaman lain seperti projek tanaman limau kasturi dan cendawan sebagai hasil utama dan telah berjaya dipasarkan sekitar pulau itu.

“Kita menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang sentiasa memberikan pelbagai bantuan khususnya JPNIN dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP)‚” ujarnya.

Menurut Anjam‚ meskipun pihaknya kini telah berjaya menghasilkan pelbagai tanaman namun cabaran tetap kunjung tiba di mana para peserta dibelenggu dengan masalah bekalan air yang tidak mencukupi ketika musim kemarau.

“Dalam apa sahaja yang kita buat‚ sudah tentu terdapat cabaran‚ namun para peserta berhadapan hal tersebut dengan positif‚ namun mereka turut memohon bantuan beberapa buah tangki air untuk bersiap sedia‚” ujarnya merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kilan.

Salah seorang peserta‚ Amnah Omar‚ 63‚ menyifatkan Kebun Komuniti amat membantu dia dan keluarga untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

“Saya mula mengikuti Kebun Komuniti ini pada 2021. Di sini saya menanam lebih empat jenis sayur-sayuran seperti timun‚ kangkung dan sawi. Memandangkan saya seorang suri rumah‚ ia bukan sahaja menambah pendapatan bahkan mengisi masa lapang‚” ujarnya.

Sementara itu‚ Sabtu Mohammad‚ 63‚ berkata inisiatif itu memberi lebih ruang kepadanya untuk bercucuk tanam yang menjadi aktiviti kegemarannya selepas bersara sejak tiga tahun lalu.

“Bukan sahaja kami dapat makan sayur-sayuran segar malah turut mengeratkan hubungan antara penduduk di sini‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas