Berita

Harus renjis, bilas kenderaan dengan air ruqyah

- Diterbit 3 Mei 2024 3:57 PM MYT

PERBUATAN merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ia merupakan satu cara yang untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama.

Penjelasan tersebut dibuat susulan video tular yang memaparkan tindakan seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air ke kereta sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan warganet.

“Selain itu, hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram.

“Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus.

“Oleh yang demikian, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Nabi SAW bersabda: “Penyakit al-Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar makan ‘ain yang dapat menjangkauinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (sebagai penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi. (HR Muslim).

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa penyakit ‘ain ini menimpa haiwan dan benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamādāt) seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya.

“Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit ‘ain ini seperti membaca ruqyah dan doa.

“Ibn Kathir dalam tafsir menyebut sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan, mereka akan menyebut ما شاء لا قوة إلا بالله,” katanya.

Tambahnya, salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air.

“Berdasarkan sabda Nabi SAW ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’. Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya,” ujarnya.

Selain itu juga, menurutnya, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak.

“Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan para sahabat tidak melakukannya. Perbahasan ini disebutkan sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan.

“Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

Secara kesimpulan, katanya, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah bukanlah suatu perkara yang khurafat.

“Bahkan ia adalah salah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil yang melarangnya. Oleh yang demikian, tindakan tersebut harus untuk dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah seumpamanya,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas