Berita

“Harimau Malaya adalah kita semua” – Afdlin

SEKITAR Majlis Pelancaran Filem Harimau Malaya: The Untold Journey yang berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Selasa.
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:30 AM MYT

DALAM dunia yang ­semakin mencabar ini, bukan ­mudah untuk ­mengekalkan ­momentum semangat dan ­menaikkan motivasi diri.

Untuk itu, kita memerlukan ­dorongan kerana kadang kala ­kita akan merasa ‘jatuh’ sepanjang ­perjalanan kita menuju apa yang dicita-citakan.

Inilah mesej yang cuba ­disampaikan dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Perjalanan hidup pahit manis, jatuh bangun akan membangkitkan semula semangat seseorang.

Menurut pengarahnya, Datuk Afdlin Shauki filem yang ­memaparkan nilai-nilai kesukanan dan sejarah ini merupakan sebuah karya wajib tonton.

“Harimau Malaya sebenarnya adalah kita semua iaitu semangat untuk berlawan dan tak pernah ­berputus asa. Itulah sebab saya ­jadikan semua karakter adalah Harimau Malaya.

“Mereka juga ada battle atau dugaan yang harus mereka lalui dalam kehidupan masing-masing. Semangat itulah yang ­menjadikan mereka terus kuat untuk ­berhadapan hidup hari ini yang penuh cabaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Filem Harimau Malaya: The Untold Journey, baru-baru ini.

Afdlin berkata kali ­terakhir dia duduk di kerusi ­sutradara dua ­tahun lalu, kesempatan ­mengarahkan Harimau Malaya: The Untold Journey adalah ­platform yang ­digunakannya untuk ­mewujudkan kecintaan yang lebih besar ­bukan ­hanya terhadap sukan tetapi ­semangat setiakawan, pengorbanan dan patriotisme yang sepatutnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Selaku rakyat Malaysia saya tidak seharusnya menolak peluang menggarap dan mengarah Harimau Malaya: The Untold Journey.

“Ini bukan sahaja kerana ­mahu ada satu karya dalam karier ­pengarahan saya tetapi ia menjadi penghormatan saya kepada negara tercinta.

“Menerusi Harimau Malaya: The Untold Journey, anda akan ­mengerti definisi ‘Kejayaan Memerlukan Keberanian Dan Pengorbanan’,” ujarnya.

Menurut Penerbit Eksekutif 4ward Pictures Sdn Bhd, Nashrul Nasir, filem tersebut ­diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe ­meletakkan jawatan sebagai ­jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.

“Dari inspirasi ini, Harimau Malaya: The Untold Journey ­berkembang bukan sekadar ­tentang pemain bola sepak ­tetapi kami mengambil naratif ­berbeza ­terutama mengangkat kisah tiga orang ­peminat tegar yang ­digelar Ultras yang disenarai hitam ­menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.

“Filem ini juga menampilkan ‘sepak terajang’ atau ‘perjalanan panjang’ tentang ­individu-individu di belakang tabir, di sekeliling yang banyak membantu skuad ­kebangsaan tetapi tidak pernah ­‘didendangkan’,” ujarnya.

Tambah Nashrul, ­penghasilan Harimau Malaya: The Untold Journey juga adalah sebuah ­apresiasi terhadap perjuangan skuad kebangsaan terutama selepas berjaya menewaskan Bangladesh sekali gus layak ke Piala Asia ­selepas 42 tahun.

“Kami percaya ada banyak ­kisah bersifat inspirasi yang boleh ­dikutip dan diambil daripada filem ini. Terutamanya kisah-kisah ­selepas Tang Cheng Hoe meletakkan jawatan.

“Dengan kepakaran Datuk Afdlin Shauki menulis skrip dan ­mengarahkan filem ini dalam ­atmosfera drama, kesukanan dan ­sejarah yang dibalut nilai ­komersial, Harimau Malaya: The Untold Journey adalah sebuah karya ­wajib tonton.

“Anda bukan hanya akan ­terinspirasi tetapi kami ­mahu ­menumbuhkan lebih ­segar ­patriotisme terhadap skuad ­kebangsaan dan Malaysia tercinta,” ujarnya.

Harimau Malaya: The Untold Journey dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Syafiq Kyle, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Filem ini dijangka ­menjalani penggambaran selama 35 hari di ­sekitar Lembah Klang. Dalam ­masa yang sama juga penggambaran akan dilakukan di luar negara iaitu Singapura, Doha dan London. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas