Berita

Hari tanpa kenderaan di Putrajaya lahir masyarakat sihat

- Diterbit 3 Ogos 2024 12:50 PM MYT

HARI tanpa kenderaan di Putrajaya atau Putrajaya Car Free Day (CFD) akan dibuat pada setiap hari Sabtu minggu terakhir setiap bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program itu dapat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar sihat.

Beliau yang juga merasmikan program itu berkata CFD turut dimeriahkan dengan Program Larian MAPPA XIX 2024 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membabitkan lebih 1,500 penjawat awam dan keluarga.

Turut hadir dalam program itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Program CFD yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan diadakan pada minggu keempat pada setiap bulan, serta diadakan semula selepas enam tahun penganjuran.

Ia dilakukan untuk memberi peluang kepada penduduk sekitar menjalankan pelbagai aktiviti riadah sihat seperti berjalan kaki dan menaiki basikal.

Sepanjang tempoh CFD, penutupan penuh akan dijalankan di Dataran Putrajaya bermula di Persimpangan Menara Prisma ke Persimpangan Menara Tulus.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penjawat awam di Putrajaya digalakkan menjalankan pelbagai aktiviti sihat sebagai usaha menjaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang lebih baik.

Beliau berkata saranan itu dibuat selepas mendapati 50 peratus penjawat awam, khususnya di Putrajaya mengalami masalah obesiti dan berat badan berlebihan.

“Saya dimaklumkan mengenai itu terutama dalam kalangan penjawat awam khususnya di Putrajaya.

“Jadi adalah penting mereka ini terbabit dalam aktiviti sihat termasuk acara larian seperti hari ini yang amat kita galakkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas