Berita

Hari Sukan Negara 2024: Kejohanan E-Sports tawar hadiah RM70,000, jadikan sukan sebagai budaya

- Diterbit 4 Oktober 2024 9:44 AM MYT

SEIRING dengan pertumbuhan pesat sukan Elektronik (e-Sports) di seluruh dunia, penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2024 bakal memberi tumpuan kepada sukan berkenaan.

Ini seiring dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkasa belia khususnya generasi muda menyertai pelbagai bidang sukan dan dilihat semakin cenderung kepada acara e-Sports.

Pada penganjuran HSN 2024, melalui program pembangunan bakat, golongan belia, wanita dan komuniti berkeperluan khas berpeluang menonjolkan bakat, berinteraksi dengan pemain profesional, mendapatkan sokongan latihan dan menyertai platform pertandingan e-Sports.

Ini bertepatan dengan tujuan melahirkan barisan pemain e-Sports profesional sehingga melayakkan diri  bertanding di kejohanan antarabangsa. 

Menurut Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Datuk Saharudin, MESF bersama E-Sports Putrajaya selaku Rakan Pelaksana Kejohanan E-Sports HSN buat kali ke-3 (edisi 2024) akan menampilkan permainan Konami eFootball 2025 sebagai pertandingan utama yang melibatkan penyertaan 15 negeri dan wilayah persekutuan, selain perlawanan futsal lima sebelah berkonsepkan healthy gaming dalam acara e-sports.

“MESF juga akan menampilkan pelbagai pertandingan permainan popular pada kejohanan kali ini seperti PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, Free Fire dan Tekken 8 bagi menarik lebih ramai golongan belia yang berminat dalam e-sports agar beramai-ramai menghadirkan diri ke Putrajaya bagi memeriahkan lagi Kejohanan E-Sports dan juga HSN 2024 pada tahun ini,” katanya.

PRESIDEN Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Datuk Saharudin,

Tambahnya, kesemua pemain bakal merebut peluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM70,000 pada Kejohanan E-Sports di HSN pada tahun ini. 

Menariknya, selain menyertai pertandingan yang dianjurkan, peminat-peminat e-Sports di 

negara ini berpeluang bertemu barisan pemain profesional tempatan seperti pasukan MLBB Selangor Red Giants yang merupakan Juara Dunia MSC 2024, Naquib Azlan dan Nabil Azlan 

dari pasukan Axle Esports, pemain eFootball JDT Esports, Norhaikal Noh, serta jaguh antarabangsa termasuk Juara Dunia Tekken World Tour 2023 iaitu Arslan Ash Siddique dari Pakistan.

Selain itu, mereka juga boleh bertemu dengan Joka Rehman dari pasukan Falcons United Kingdom yang menjuarai Kejohanan Tekken Eropah 2023, serta Juara Tekken Asia Tenggara 2021 dari Thailand, Nopparut ‘Book’ Hempamor dari pasukan Talon.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kelainan yang dibawa pada tahun ini iaitu segmen Mari Mencuba Sukan Rekreasi, pertandingan cosplay, permainan VR, booth jualan dan banyak lagi aktiviti menarik menanti para pengunjung. 

Kejohanan Esports HSN 2024 akan berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Presint 3, Putrajaya pada 11 hingga 13 Oktober 2024 anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Jabatan Belia & Sukan Negara (JBSN) dan Rakan Muda.

Manakala MESF bersama Esports Putrajaya sebagai Rakan Pelaksana kejohanan kali ini.

Penganjuran HSN 2024 bertujuan memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.

Ia juga boleh meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi seterusnya mempergiatkan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.

Sudah tentu, penganjuran penting ini adalah untuk memperkukuhkan semangat ukhuwah serta integrasi nasional menerusi aktiviti sukan dan rekreasi sekaligus menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan sektor industri sukan ini.

Pada tahun ini, sambutan HSN sesuai dengan konsep pelaksanaannya seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030). 

Dengan mengetengahkan tema ‘Cergas Bersama’, KBS menerusi JBSN akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat daerah, negeri serta kebangsaan dengan sasaran penyertaan seramai 4.5 juta orang di seluruh negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas