Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
HARI Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun mempunyai signifikan yang sama dengan sambutan Hari Kebangsaan dan perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.
Ini kerana sambutan berkenaan antara lain dapat memastikan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara dipelihara selain membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan belia.
Sesungguhnya, segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu. Tidak kurang juga ada dalam kalangan rakyat yang akan mengimbau kembali bibit perjuangan dan pengorbanan dilalui oleh ahli keluarga atau mungkin nenek moyang dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan dan kesejahteraan negara seperti yang dikecapi hari ini.
Mungkin bagi generasi baharu, perjuangan dan pengorbanan itu hanya didengar dan difahami daripada kisah yang diceritakan oleh ibu bapa atau datuk nenek selain menerusi buku teks sekolah, gambar, video, lokasi sejarah serta mungkin artifak yang dapat diakses daripada pelbagai medium.
Justeru, aktiviti promosi dan hebahan Hari Malaysia perlu diteruskan dan dipupuk supaya generasi akan datang terus memahami susur galur sejarah negara yang penuh dengan perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu dalam usaha membina negara.
Walaupun negara menghadapi pelbagai cabaran namun perhubungan silang budaya adalah baik dan perlu memastikan agar ikatan perpaduan antara kaum dalam negara yang telah wujud sejak sekian lama dipupuk setiap
masa.
Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita, marilah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara. Semua ini dapat dicapai kerana kita masing-masing percaya, walau kita berbeza tetap teguh bersama.
Melalui kemeriahan kibaran Jalur Gemilang, ia pastinya akan menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Malaysia dan secara langsung terus mengetengahkan elemen-elemen perpaduan, keharmonian dan cintakan negara. – WILAYAHKU