SELAMAT menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke -63!
Hari ini, pasti banyak lagu bertemakan kemerdekaan berkumandang di mana-mana sahaja.
Selain lagu rasmi kebangsaan Negaraku, antara lagu patriotik lain yang sentiasa segar dalam ingatan kita adalah Tanggal 31 Ogos, Setia, Warisan, Bahtera Merdeka, Pahlawanku, Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, 1 Malaysia, Inilah Barisan Kita dan banyak lagi.
Pejuang lagu-lagu patriotik, Faizal Tahir,41, mengaku peranan lagu sangat penting kerana tidak semua orang boleh menerima mesej melalui ceramah yang panjang.
“Ada banyak perkara yang kita tidak boleh sampaikan melalui ceramah yang ‘berjela-jela’ panjang, di situlah lagu memainkan peranan.
“Lagu-lagu yang menanamkan rasa cinta kepada negara ini bukan semua orang hendak buat dan tidak semua boleh lakukannya.
“Kadang-kadang kita cuba buat tapi masyarakat masih tidak boleh merasainya,” jelas Faizal yang banyak mencipta dan menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti Negaraku, Gemuruh, Malaysiaku dan sebagainya.
Bagi Faizal, lagu-lagu patriotik juga perlu seiring dengan minat dan selera anak-anak muda.
“Zaman sekarang ini, anak-anak muda lebih suka sesuatu yang tidak berjela-jela panjang sampai memeningkan kepala mereka.
“Jadi di sinilah pentingnya lagu yang boleh memberi kesan dalam dua atau tiga minit sahaja. Kesannya bukan sahaja mereka mendapat mesej yang disampaikan tetapi lagu juga boleh menyentuh emosi mereka.
“Bagi saya, memang penting untuk sentiasa ada lagu-lagu yang boleh menanamkan semangat patriotik dalam kalangan mereka.
“Anak-anak muda suka dan dekat dengan hiburan. Kadang-kadang bila tiada medium yang sesuai untuk mereka, orang akan cari muzik.
“Bagi saya banyak lagu patriotik sekarang memberi kesan kepada golongan muda. Apatah lagi lagu itu sentiasa diulang-ulang secara tidak langsung mesej positif sampai kepada mereka,” katanya lagi.

Faizal juga berpendapat, lagu yang dihasilkan juga perlu relevan dengan masa kini.
“Lagu patriotik yang dibawa juga perlu relevan dengan situasi industri sekarang. Misalnya lagu Negaraku yang dilancarkan dua tahun lalu masih diminati.
“Melalui lagu ini saya berkolaborasi dengan SonaOne, Joe Flizzow dan Altimet. Semua tahu kehebatan mereka dalam irama rap menjadi kegilaan remaja,” jelasnya yang turut menyanyikan lagu patriotik lain berjudul Gemuruh dan Malaysiaku. – WILAYAHKU