Berita

Hari Kebangsaan 2024: Lebih 100,000 rakyat zahir semangat Jiwa Merdeka

- Diterbit 31 Ogos 2024 12:43 PM MYT

LEBIH 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024, membuktikan semangat patriotik kekal subur dalam jiwa rakyat Malaysia.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka yang diadakan di Dataran Putrajaya hari ini berjalan lancar dengan disemarakkan menerusi acara perbarisan dan perarakan oleh 17,262 orang peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Lebih istimewa, sambutan ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Duta serta Konsulat Asing di Malaysia.

“Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim gembira dan sangat berpuas hati dengan sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya ketika sidang media Hari Kebangsaan 2024 hari ini.

Sebagai simbolik sambutan ke-67, sebanyak 67 buah kenderaan Kontinjen KMJG daripada pelbagai latar belakang kaum, umur dan profesion dalam usaha membawa imej kebersamaan dalam kepelbagaian selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah turut dipersembahkan sebagai manifestasi ketelusan tatakelola dan integriti sekali gus mengakhiri persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Fahmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Tidak hanya di Putrajaya, sambutan Hari Kebangsaan turut berlangsung di seluruh negara walaupun dalam suasana lebih sederhana untuk bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik sempena ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas