GOLONGAN belia merupakan segmen yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat serta bakal pemimpin masa depan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata sejak beliau terlibat dalam dunia politik dan kini sebagai menteri, kumpulan anak muda sentiasa menjadi keutamaannya.
“Pada saya, belia merupakan segmen yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat memandangkan komposisi mereka menghampiri 50 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.
“Tambahan lagi, mereka ini merupakan bakal pemimpin masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah Zaliha menambah, selain tumpuan diberikan kepada belia-belia berpersatuan, tumpuan kepada belia tidak berpersatuan juga perlu diberi penekanan.
Zaliha berkata Sidang Belia Wilayah Persekutuan yang telah dilancarkan akan memberi tumpuan kepada perbahasan isu-isu di Wilayah Persekutuan mengikut kluster yang telah ditetapkan.
“Saya teruja untuk mendengar dan meneliti semua pandangan-pandangan dan perbahasan yang akan diutarakan oleh ahli-ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan Julai nanti terkait kluster-kluster yang ditetapkan.
“Saya menjemput semua belia berusia 18 hingga 35 tahun yang bermastautin di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk mendaftar sebagai ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan melalui laman web http://sidangbeliawp.my/.
“Kepada semua belia, khususnya di Wilayah Persekutuan, saya mengucapkan Selamat Hari Belia Negara 2024,” kata beliau. – WILAYAHKU