SERAMAI 1,500 asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan menerima sumbangan zakat dalam Program Nur Ramadan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus terbela sepanjang bulan mulia ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sumbangan itu diagihkan secara berperingkat, dengan 300 penerima menerima bantuan secara langsung pada majlis yang diadakan di Surau Annur Rahim, Kampung Sungai Buton.
Beliau turut menyentuh tentang keberkatan bersedekah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 261, bahawa sesiapa yang bersedekah di jalan Allah akan menerima ganjaran berlipat ganda, dari 10 hingga 700 kali ganda.
“Semoga amalan bersedekah ini terus subur dalam jiwa kita, bukan hanya sepanjang Ramadan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan MADANI komited memastikan kebajikan rakyat terus terbela, terutama dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya.
Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP serta hampir dua juta pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menjadi tonggak kepada sistem zakat negara.
Sementara itu, dalam Program Singgah Sahur di Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, Zaliha menyantuni 41 anak tahfiz dari Madrasah al-Ansar Labuan dan ahli kariah setempat.
Dalam program itu, kerajaan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyampaikan sumbangan khas RM5,000 kepada madrasah berkenaan, selain peruntukan RM5,000 kepada masjid bagi manfaat jemaah.
“Semangat kebersamaan yang dizahirkan dalam program ini memperkukuh ukhuwah dan kepedulian dalam masyarakat, selari dengan nilai Ramadan yang menggalakkan kita untuk berbakti serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, JWP melalui inisiatif Ihsan@PUJI akan terus komited menyantuni rakyat dan memastikan kebajikan golongan memerlukan sentiasa diberi keutamaan.
Program itu adalah sebahagian daripada agenda Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara, terutama dalam bulan penuh keberkatan ini. – WILAYAHKU