Berita

Harga runcit Ron97, Diesel kurang sebanyak 5 sen seliter

- Diterbit 9 April 2025 5:15 PM MYT

KERAJAAN memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 5 sen kepada RM3.28 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 5 sen kepada RM2.98 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memberitahu pengurangan tersebut bagi tempoh 10 April 2025 hingga 16 April 2025 seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Sehubungan itu, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya harga runcit produk petroleum bagi tempoh 10 April 2025 hingga 16 April 2025 adalah harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 5 sen kepada paras RM3.28 seliter; harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter; harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 5 sen kepada paras RM2.98 seliter; dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras
RM2.15 seliter.

Dalam masa sama, kerajaan akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas