Berita

Harga runcit diesel Semenanjung turun 2 sen

Gambar hiasan
- Diterbit 21 Ogos 2024 6:52 PM MYT

KERAJAAN memutuskan untuk mengurangkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 2 sen seliter kepada RM3.23 seliter bagi tempoh 22 hingga 28 Ogos.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, pelarasan harga itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak.

Tambah MOF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan menyokong kestabilan harga.

“Sehubungan itu, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh tersebut ditetapkan pada kadar berikut.

“Harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.47 seliter, RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter, manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter,” katanya hari ini.

MOF menegaskan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas