HARGA runcit bagi petrol RON97 dan diesel di semenanjung Malaysia turun sebanyak 6 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 September 2024.
Kementerian Kewangan berkata seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia dan pengukuhan ringgit, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 6 sen kepada RM3.19 seliter.
Sementara itu, tambahnya, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga diturunkan sebanyak 6 sen seliter kepada RM2.95 seliter.
“Sejak 8 Ogos sehingga kini, kerajaan telah menurunkan sebanyak 40 sen seliter bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 28 sen.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit produk petroleum dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, jelasnya berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter.
“Sementara itu, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter,” ujarnya. – WILAYAHKU.