Berita

Harga RON97 dan diesel Semenanjung naik 5 sen

- Diterbit 22 Januari 2025 6:12 PM MYT

HARGA runcit petrol RON97 dan diesel naik sebanyak 5 sen seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Januari 2025.

Kementerian Kewangan berkata, penetapan harga ini seiring peningkatan harga minyak pasaran dunia.

Meskipun begitu, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter.

“Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit petrol RON97 naik daripada RM3.38 seliter kepada RM3.43 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 5 sen seliter iaitu daripada RM3.08 seliter kepada RM3.13 seliter.

“Manakala harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit
RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas