KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyelaras harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) berkuat kuasa mulai 15 April 2025.
KPKM berkata ia adalah di bawah Insentif Benih Padi Sah bagi peringkat borong yang diselaraskan daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kilogram (kg) manakala di peringkat runcit daripada RM58 kepada RM56 di Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan itu, penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
“Selain itu, bagi memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKM berkata semua pemborong dan peruncit BPS adalah diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.
“Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya,” tegasnya. – WILAYAHKU