BERKELUASAN 40,000 kaki persegi, taman tema tiga tingkat, Wetland Studios Putrajaya menawarkan harga istimewa kepada para pengunjung bersempena dengan tempoh prapelancarannya yang bermula pada 26 Mei sehingga 31 Ogos ini.
Menurut Presiden Wetland Studios, Datuk Norman Abdul Halim, taman tema berkonsepkan edutainment itu bakal dilancarkan secara rasmi pada September depan dengan pembukaan kesemua 15 ruangan termasuk tarikan tambahan Panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.
“Sepanjang tempoh prapelancaran, kami menetapkan harga istimewa buat warganegara Malaysia iaitu RM25 bagi dewasa (13 hingga 64 tahun), RM15 bagi warga emas (65 tahun ke atas), RM15 bagi kanak-kanak (empat hingga 12 tahun), RM12 bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.
“Untuk warga asing pula, RM40 bagi dewasa (13 hingga 64 tahun), RM20 bagi warga emas (65 tahun ke atas), RM20 bagi kanak-kanak (4 hingga 12 tahun), RM16 bagi OKU dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.
“Sememangnya kami menawarkan harga tiket serendah mungkin agar pengalaman di Wetland Studios Putrajaya dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya yang datang bersama keluarga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Norman berharap agar pengalaman tersebut dapat memberi maklumat berharga untuk orang ramai agar menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama merakamkan memori indah dengan orang-orang yang tersayang.
“Para pengunjung boleh mendapatkan tiket di kaunter atau secara dalam talian menerusi laman sesawang www. wetlandstudios-putrajaya.com mulai 1 Jun 2023.
“Wetland Studios Putrajaya beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum,” tambah beliau. – WILAYAHKU