CKK

Harga di pasar tani tinggi

- Diterbit 15 Disember 2023 12:10 PM MYT

SERONOK juga tinggal di ­kawasan sempadan dua ­negeri, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Selangor. Bagi kawan-kawan Kedai Kopi di Gombak, WP, melangkah kaki sahaja sudah memasuki Gombak Setia, Selangor. Begitulah sebaliknya.

Kerana itu bukan asing warga WP makan minum di Selangor, atau membeli ­barang ­keperluan. Begitu juga bagi ­warga Selangor. Boleh dikatakan ini sudah ­menjadi rutin harian dalam ­kalangan ­warga kedua-dua negeri.

Oleh kerana sudah terlalu ­biasa, tidak terasa ­masing-masing dari negeri berlainan dan ­merentas sempadan. Antara yang menjadi tumpuan warga Gombak Setia dan Gombak WP setiap minggu ialah pasar tani hujung minggu.

Setiap hari Sabtu pagi, pasar tersebut diadakan di Gombak Setia. Pada Ahad pula pasar tani di Taman Danau Kota, Setapak. Orang ramai membeli barang keperluan segar seperti ikan, ­ayam, sayur, buah, kuih-muih dan lain-lain.

Kawan-kawan Kedai Kopi sering berkunjung ke ­dua-dua pasar tani di Gombak Setia dan Danau Kota. Namun menurut pengamatan dan ­maklum ­balas pengunjung, secara ­keseluruhannya harga ikan atau barangan agak mahal. Misalnya harga ubi kentang, cili, bawang, ikan masin dan sebagainya.

Ini setelah membuat ­perbandingan dengan kedai biasa yang menjual barang ­keperluan sama. Jurang perbezaan harga agak tinggi. Misalnya ikan bawal di kedai biasa boleh didapati tidak sampai RM30 sekilogram. Namun di pasar tani melebihi RM30.

Begitu juga dengan bawang atau ubi kentang. Di kedai ­biasa boleh didapati pada harga tidak sampai RM3 sekilo. Namun di pasar tani lebih RM4 ­hingga mencecah RM5. Lain gerai lain harganya. Ikut budi bicara ­peniaga agaknya!

Sepanjang yang ­kawan-kawan Kedai Kopi ingat, matlamat mewujudkan pasar tani adalah menjual barangan dengan ­harga patut, terutama untuk mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Sewajarnya ­matlamat ini terus dipelihara.

Diharap pihak ­berkuasa ­sekali-sekala memantau dan membuat pemeriksaan ­untuk memastikan harga jualan ­dalam lingkungan munasabah dan ­lebih ramai mampu membeli. Biar ­harga rendah dan untung tidak ­terlalu banyak tetapi ­ramai ­membeli. Kongsilah rezeki bersama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas