Berita

Harapan pingat emas Malaysia di Olimpik musnah

IMPIAN negara merangkul emas pertama di Olimpik Paris lebur apabila Azizulhasni tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Veldrom Saint-Quentin-en-Yvelines hari ini. Foto: ISKANDAR KAMARUZAMAN/BERNAMA
- Diterbit 11 Ogos 2024 1:01 AM MYT

HARAPAN merangkul pingat emas pertama negara di pentas Olimpik musnah selepas jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sah tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia susulan tindakan Azizulhasni yang memotong pacer dalam heat pertama pusingan awal acara keirin itu sekali gus cubaan untuk meraih emas terkubur.

Biarpun pasukan berbasikal negara cuba membuat rayuan, namun berdasarkan senarai pelumba ke pusingan ‘repechages’ menyaksikan nama Azizulhasni tiada dan ini bermakna kelibat pemenang pingat perak dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 tidak akan kelihatan.

Ini bermakna harapan pasukan berbasikal trek kini disandarkan di bahu seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menamatkan perlumbaan heat 5 di tempat ketiga sekali gus akan bersaing di pusingan ‘repechages’.

Terdahulu, Azizul atau dikenali dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ berada di heat pertama bersama dua finalis edisi lalu, Matthew Glaetzer dan Jair Tjon En Fa selain Ota Kaiya, Rayan Helal serta Jeffrey Hoogland.

Dia yang mulakan saingan di kedudukan keenam cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek. Begitupun, Azizul dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan dan disingkirkan daripada saingan.

Perlumbaan heat pertama itu dimenangi Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland yang mara terus ke suku akhir. Pelumba lain pula akan bersaing di pusingan repeatcharge untuk mengintai tiket ke suku akhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas