Berita

Haramkan kapal Israel masuk Malaysia: Isyarat tegas, berani Malaysia menentang Zionis

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Disember 2023 8:00 PM MYT

KEPUTUSAN kerajaan Malaysia untuk tidak lagi menerima kapal perdagangan Israel masuk ke negara ini adalah suatu tindakan keras yang berani dalam usaha memberi tekanan kepada rejim itu menghentikan jenayah kemanusiaan terhadap Palestin.

Menyifatkan keputusan itu cerminan semangat dan keberanian Malaysia, Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Nazari Ismail berkata tindakan itu juga memberi isyarat penentangan yang jelas kerajaan terhadap Zionis Israel yang angkuh dan kejam.

Menurut beliau, langkah berani Malaysia itu, sebenarnya mampu memberi impak besar yang berterusan terhadap rantaian ekonomi Israel, khususnya dalam bidang ekonomi maritim dan perkhidmatan logistik mereka.

“Impak akan lebih besar (terhadap ekonomi Israel) jika negara Arab dan negara Islam lain turut mengikut tindakan Malaysia. Negara lain termasuk di rantau ASEAN sendiri wajar mengikut tindakan menyekat kapal-kapal dagang Israel,” katanya kepada Bernama.

Kenyataan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan Malaysia mengenakan sekatan serta-merta dan tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel masuk ke negara ini.

Pada masa sama, kerajaan juga melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia, selain mengenakan sekatan kekal terhadap syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara.

Konflik Palestin-Israel yang kembali memuncak sejak 7 Okt lepas, sudah berlarutan lebih dua bulan dengan jumlah penduduk Gaza yang terbunuh akibat kekejaman Israel kini mencecah hampir 20,000, sementara ribuan lagi cedera, manakala hampir dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Mohd Nazari yang juga Pengerusi gerakan Boycott, Divestment and Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) mencadangkan sekatan lain seperti larangan pemberian kontrak kepada syarikat antarabangsa yang jelas menyokong, bersekongkol atau menyumbang kepada ekonomi Israel dilaksanakan.

“BDS Malaysia juga menyeru semua rakyat dan organisasi, sama ada dalam sektor awam atau swasta, supaya terus teguh dan tidak berbelah bahagi dalam memboikot produk dan perniagaan yang telah dikenal pasti memudahkan penindasan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata PUM menyokong penuh keputusan kerajaan menyekat kapal dagang berkaitan Israel ke Malaysia, malah ia satu keputusan tepat untuk menyatakan solidariti negara dalam konflik di Palestin.

Beliau berkata pendirian tegas itu amat diperlukan ketika Israel berterusan melakukan kezaliman dan tidak mengendahkan tekanan dan arahan untuk menghentikan serangan ke atas Gaza.

“Pendirian tegas pemimpin-pemimpin Malaysia terhadap perlakuan zalim Israel ke atas Palestin sejak dari dahulu hingga kini amatlah dihargai dan sesuatu yang amat wajar dihormati semua.

“PUM juga ingin menggesa agar tindakan tegas ditunjukkan Perdana Menteri Malaysia turut dilakukan negara lain atas kesedaran kemanusiaan dan pembelaan kepada hak asasi manusia yang sedang dicabuli dengan rakus oleh Israel,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas